
KOTA BHARU, 5 SEPTEMBER 2025 – Ceramah perdana bertajuk “Makanan Sunnah untuk Keberkatan dan Kesihatan” menarik perhatian pengunjung Festival Citarasa Warisan @Pantai Timur 2025 yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Warisan Negara (JWN) di Kota Bharu, Kelantan. Ceramah ini dimoderatorkan oleh Muhammad Zikri bin Azrahan.
Penceramah jemputan, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Haji Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, menegaskan bahawa makanan sunnah Nabi Muhammad SAW sering disalah anggap sebagai ubat. Sebenarnya, ia adalah sumber pemakanan yang baik untuk kesihatan, dan bukan pengganti rawatan perubatan moden.
Menurut Prof. Mohd Izhar, fatwa jelas membezakan makanan dan ubat sebagai dua entiti berasingan.
“Ubat adalah ubat, makanan adalah makanan. Ia mempunyai kaedah dan kategori yang berasingan,” jelas beliau.
Beliau menambah, penggunaan sumber haram dibenarkan hanya dalam keadaan darurat, namun makanan halal dan sunnah Nabi tetap merupakan makanan, bukan ubat.
Nabi Muhammad SAW mengamalkan pemakanan sederhana dan seimbang. Baginda makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang. Imam Al-Ghazali menyarankan perut diisi dengan satu pertiga makanan, satu pertiga air, dan satu pertiga untuk angin.
“Cara pemakanan ini baik untuk penjagaan kesihatan, bukan untuk mengubati penyakit,” jelas Prof. Mohd Izhar.
Antara amalan pemakanan Nabi yang boleh dicontohi termasuk mengurangkan makanan bergoreng, banyakkan buah-buahan, dan mengamalkan pemakanan seimbang yang selari dengan konsep diet moden.
Prof. Mohd Izhar turut memetik kajian PhD terkini yang membuktikan setiap warna pada sayur-sayuran dan buah-buahan mempunyai khasiat tertentu kepada tubuh.
“Setiap warna memainkan peranan. Merah, ungu, hijau – masing-masing ada khasiatnya. Pakar diet akan menasihati penambahan sayur hijau atau protein telur berdasarkan keperluan,” katanya.
Beliau turut menekankan adab makan Nabi yang tinggi, termasuk menghargai makanan tanpa mengeluh, kerana makanan adalah rezeki daripada Allah. Kisah penduduk Gaza dan Syria yang terpaksa memakan apa saja akibat kelaparan dijadikan contoh ekstrem bagi menghargai makanan.
“Islam membenarkannya atas dasar dharurat, tetapi mereka berhenti sebaik hilang lapar. Ini mengajar kita untuk tidak membazir dan sentiasa bersyukur,” ujarnya.
Penjual makanan juga diingatkan agar bertanggungjawab terhadap kualiti makanan yang dijual.
“Jika penjual masak main-main dan hasilnya tidak elok, mereka akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah. Di dunia, mereka mungkin hilang keberkatan dalam rezeki,” jelas Prof. Mohd Izhar.
Ceramah tersebut menekankan bahawa mengamalkan pemakanan sunnah Nabi Muhammad SAW dan menghargai setiap rezeki bukan sahaja menjaga kesihatan, tetapi juga membawa keberkatan dalam kehidupan.
“Mengikut apa yang diajar oleh Nabi adalah jalan paling mudah dan paling benar untuk kita amalkan,” tuturnya.
Festival Citarasa Warisan @Pantai Timur 2025 masih menyajikan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung sehingga 7 September. Jom hadir dan rasai pengalaman budaya serta citarasa warisan Pantai Timur yang unik dan meriah.