ANGKASA anjur Kongres Koperasi Kebangsaan 2024 pada 25 dan 26 Julai dalam memacu pertumbuhan koperasi negara

  • July 10, 2024
  • 3 min read
ANGKASA anjur Kongres Koperasi Kebangsaan 2024 pada 25 dan 26 Julai dalam memacu pertumbuhan koperasi negara

KUALA LUMPUR, 9 JULAI 2024 – Berhad (ANGKASA) dengan sokongan penuh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKM) akan menganjurkan Kongres Koperasi Kebangsaan 2024 pada 25 hingga 26 Julai 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Kongres Koperasi Kebangsaan 2024 akan disempurnakan Perasmian Penutupnya oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim pada 26 Julai 2024 yang bakal menghimpunkan 2,500 orang secara fizikal dan lebih 5,000 orang secara dalam talian melibatkan pemimpin dan anggota koperasi, wakil agensi kerajaan dan wakil badan bukan kerajaan (NGO).

Kongres Koperasi Kebangsaan 2024 bertemakan ‘Koperasi Pemangkin Ekonomi MADANI’ bertujuan untuk membincangkan isu, inisiatif dan hala tuju baharu dalam memperkasa peranan gerakan koperasi bagi membantu kerajaan mendepani cabaran semasa seperti menangani pengurangan kos sara hidup, merancakkan pertumbuhan ekonomi menerusi platform koperasi, melihat semula kesesuaian peraturan dan akta yang diguna pakai pada masa ini supaya selari dengan perubahan pasaran yang dinamik.

Kongres ini juga merupakan platform untuk menyelaras semula pelan strategik koperasi supaya ianya menjadi wadah berkesan yang menjadi penyumbang utama pembangunan ekonomi sosial negara bagi membantu lebih 15,000 koperasi dengan 7.2 juta keanggotaan khususnya serta rakyat secara umumnya.

Kongres ini memberi penekanan kepada empat (4) fokus utama iaitu :

1. Jati diri dan identiti koperasi

2. Akta, peraturan dan tata kelola koperasi

3. Pendidikan dan modan insan koperasi

4. Daya saing perniagaan koperasi

Pelaksanaan Kongres ini melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan pihak

berkepentingan serta pemegang taruh yang dijemput khas menerusi beberapa Sesi Libat Urus (SLU) yang telah diadakan oleh ANGKASA bermula bulan Februari 2024.

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, kongres pertama koperasi yang dikenali sebagai Kongres Kerjasama Malaysia Pertama telah diadakan pada tahun 1966 dengan matlamat untuk menubuhkan Kesatuan koperasi peringkat kebangsaan bertujuan untuk menyatukan semua koperasi dalam satu gerakan yang lebih menyeluruh serta mengusulkan supaya undang-undang dan tadbir urus gerakan koperasi dapat diselaras dan seragam.

Lanjutan dari itu, sebuah keputusan penting telah dicapai semasa berlangsungnya Kongres Kerjasama Malaysia Kedua pada 20-21 Mac 1971 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri pada ketika itu, YAB Tun Abdul Razak Hussein untuk memuktamadkan penubuhan sebuah kesatuan koperasi peringkat kebangsaan bagi mewakili gabungan koperasi di peringkat nasional dan antarabangsa yang membawa kepada detik bersejarah penubuhan ANGKASA secara rasminya pada

12 Mei 1971 sebagai Angkatan Kerjasama Kebangsaan Malaysia Berhad.

Menurut Presiden ANGKASA, sejak kali terakhir kongres koperasi diadakan

53 tahun yang lalu, pelbagai perubahan dalam landskap ekonomi negara dan global telah berlaku dan pembaharuan perlu dilaksanakan dengan segera supaya Gerakan koperasi mampu untuk terus relevan serta berdaya saing di pasaran terbuka.

Dalam masa sama beliau berkata, gerakan koperasi secara keseluruhan telah berjaya melangkaui sasaran perolehan oleh kerajaan sebanyak RM60 bilion menjelang 2025 di mana sebanyak RM64.6 bilion telah disumbangkam seawal tahun 2023.

“Perkara ini secara tidak langsung menunjukkan kemampuan koperasi untuk kekal relevan dan berdiri teguh biarpun turut berdepan dengan kesan pandemik dan ketidaktentuan ekonomi yang telah melumpuhkan banyak perusahaan.

Namun atas sokongan dan usaha pemimpin serta anggotanya, koperasi terus bergerak ke hadapan serta berjaya melangkaui sasaran ditetapkan kerajaan,” kata Datuk Seri Dr.Abdul Fattah Abdullah.

Kongres ini juga akan melihat kepada sistem sokongan kewangan dari pihak kerajaan yang penting untuk memastikan koperasi mempunyai akses kepada dana yang mencukupi. Ini termasuk pembiayaan, geran, dan insentif yang dapat membantu koperasi berkembang dan bersaing dalam ekonomi yang semakin mencabar.

Resolusi hasil daripada kongres ini dijangka diangkat dan diserahkan oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah kepada Perdana Menteri,

Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim pada Majlis Perasmian Penutup yang berlangsung pada 26 Julai 2024.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *