ANGKASA KOMITED MARTABATKAN PEMATUHAN SYARIAH DALAM GERAKAN KOPERASI

  • December 7, 2023
  • 2 min read
ANGKASA KOMITED MARTABATKAN PEMATUHAN SYARIAH DALAM GERAKAN KOPERASI

ANGKASA komited memartabatkan Pematuhan Syariah dalam gerakan koperasi di Malaysia bagi memastikan semua aktiviti dan transaksi koperasi selaras dengan prinsip dan syariat Islam, selain mengelakkan berlakunya penipuan.

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah menyeru koperasi untuk mengambil peluang mendapatkan Sijil Pematuhan Syariah bagi memastikan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan mematuhi prinsip pematuhan Syariah serta lebih dipercayai oleh pengguna, khususnya mereka yang menganut agama Islam.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Pengukuhan Pematuhan Syariah dan Penyampaian Sijil Pematuhan Syariah ANGKASA di Kelana Jaya pada 7 Disember 2023.

Tambah beliau, ANGKASA telah dilantik secara rasmi oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia sebagai Jawatankuasa Syariah Luaran bagi gerakan koperasi.

“Ini membuktikan kredibiliti ANGKASA dinilai dengan begitu positif sebagai perintis kepada pelaksanaan Pematuhan Syariah bagi gerakan koperasi.

Selain daripada aktiviti dan transisi, koperasi juga perlu memastikan struktur organisasi koperasi mematuhi prinsip Syariah dengan menerapkannya ke dalam tatakelola koperasi,” kata beliau.

Beliau juga menegaskan bahawa Sijil Pematuhan Syariah ANGKASA hanya eksklusif kepada koperasi sahaja dan tidak dikeluarkan kepada mana-mana organisasi swasta.

“Kita dapat banyak aduan terdapat pihak-pihak tertentu yang mengaku mempunyai Sijil Pematuhan Syariah ANGKASA serta menawarkan pinjaman dan pelaburan. Diharap tiada anggota koperasi yang terpedaya dengan muslihat ini kerana sijil ini hanya dikeluarkan untuk koperasi sahaja,” jelasnya.

Dalam majlis sama, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah turut menyampaikan plak dan Sijil Pematuhan Syariah kepada 20 buah koperasi di seluruh negeri Selangor.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengerusi ANGKASA Negeri Selangor, Dato’ Haji Mohd. Alias Hamzah dan Setiausaha ANGKASA Negeri Kedah merangkap Setiausaha Koperasi Pembiayaan Syariah ANGKASA Berhad (KOPSYA), Haji Alimen Ahmad.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *