BAYARAN INSENTIF PENGELUARAN GETAH (IPG) BERSIFAT MENYELURUH KEPADA SEMUA PEMILIK KEBUN DAN PENOREH GETAH

  • March 31, 2023
  • 2 min read


Kerajaan tidak pernah mengabaikan pekebun kecil getah ketika harga
komoditi tersebut diparas rendah. Kerajaan sentiasa prihatin dengan
kebajikan pekebun kecil getah yang mana pendapatan mereka akan terjejas
apabila harga getah merosot. Seperti komoditi lain, getah asli juga
berorientasikan eksport dan harganya ditentukan oleh permintaan dan
penawaran antarabangsa dan diluar kawalan mana-mana pihak.
Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) ingin menegaskan bahawa
penyaluran IPG melalui Lembaga Getah Malaysia (LGM) adalah bersifat
menyeluruh kepada semua pemilik kebun dan penoreh getah yang
berjumlah lebih 320,000 orang. Oleh itu, Kenyataan tular yang
menyatakan berlaku ketidakadilan dalam bayaran IPG adalah tidak
berdasarkan fakta sebenar.
Kerajaan telah melaksanakan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) sejak tahun
2015 yang bersifat serampang dua mata iaitu bertujuan untuk
mengurangkan beban ekonomi pekebun kecil ketika harga getah di pasaran
rendah di samping menggalakkan mereka untuk terus menoreh bagi
meningkatkan pengeluaran getah negara.
Bagi menggalakkan pengeluaran getah, penyaluran IPG adalah bersifat
menyeluruh yang merangkumi pemilik kebun getah dan juga pengusaha
(penoreh) berdasarkan takrifan rasmi semasa pekebun kecil di Malaysia.
Penoreh yang mengambil upah menoreh secara pawah (pajakan) juga layak

untuk memiliki Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) dan seterusnya
menerima bantuan IPG.
Kerajaan menyalurkan bantuan IPG kepada kedua-dua pemilik dan penoreh
dengan mengambil kira keperluan kedua-dua pihak. Pemilik kebun getah
memerlukan bantuan IPG bagi membeli input pertanian seperti baja dan
racun serta penyelenggaraan kebun. Manakala penoreh getah memerlukan
bantuan untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.
Kenyataan baru-baru ini mengenai peruntukan Kerajaan untuk IPG
berjumlah RM2 bilion dan bayaran IPG berjumlah RM575 juta sejak
2015 hingga 2022 adalah tidak tepat. Rekod sebenar perbelanjaan IPG
oleh Kerajaan adalah sebanyak RM446 juta telah disalurkan kepada
pekebun kecil seluruh negara sejak 2015 hingga kini.
Tiada sebarang karenah birokrasi dalam penyaluran bantuan IPG oleh LGM.
Mulai 1 Januari 2021, pembayaran IPG telah dibuat secara terus ke
akaun bank pekebun kecil dan mereka tidak perlu lagi membuat
permohonan secara manual di pejabat-pejabat LGM ataupun RISDA.
Pekebun kecil yang memiliki PAT-G diwajibkan untuk menjual getah kepada
peniaga getah berlesen LGM.
Pekebun kecil adalah seseorang yang memiliki dan mengusahakan satu
atau lebih kebun getah yang jumlah keseluruhannya tidak melebihi 40.46
hektar. Berdasarkan Peraturan-Peraturan Lembaga Getah Malaysia
(Pelesenan dan Permit) 2014, pekebun kecil diwajibkan memiliki PAT-G.
PAT-G merupakan permit jualan getah yang dikeluarkan secara percuma
oleh LGM. Dengan adanya PAT-G, ia bukan sahaja dapat mengekang kes
kecurian getah, malah dapat membantu mempermudahkan penyaluran
bantuan Kerajaan kepada pekebun kecil.
Walaupun bayaran IPG telah dibayar secara automatik, terdapat segelintir
pekebun kecil yang gagal untuk menerima bayaran disebabkan masalah
akaun bank yang tidak aktif dan PAT-G yang tamat tempoh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *