Cradle dan Microsoft jalin kerjasama bantu Start-up Malaysia
KUALA LUMPUR, 9 OGOS 2022 – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’
Sri Dr. Adham bin Baba hari ini telah menyaksikan majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Cradle Fund Sdn. Bhd (Cradle) dengan Microsoft Malaysia (Microsoft).
Kolaborasi antara Cradle iaitu agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan Microsoft membuktikan komitmen kedua-dua pihak dalam ifmenyediakan platform kepada syarikat pemula atau start-up tempatan untuk membangunkan hasil inovasi di peringkat global.
Menerusi MoU ini, Cradle akan bekerjasama dalam program Microsoft for Startups
Founders Hub dengan menyediakan peluang meningkatkan kemahiran, memberi
panduan dari segi teknikal, menyediakan capaian kepada Microsoft Mentor Network
berserta akses percuma kepada GitHub Enterprise dan peningkatan produktiviti
dengan Microsoft 365 serta kredit awan Azure bernilai sehingga USD150,000.00
untuk membangunkan produk mereka.
Menurut YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba, jalinan kerjasama antara Cradle dan
Microsoft diharapkan dapat memastikan kemampanan ekosistem start-up. Syarikat
start-up juga perlu mengambil peluang dalam memanfaatkan kepakaran dan ilmu yang ada pada syarikat besar seperti Microsoft untuk meneroka pasaran antarabangsa.
“MOSTI percaya bahawa kolaborasi ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan dan pembangunan yang lebih giat kepada syarikat-syarikat start-up di Malaysia. Ini adalah selari dengan hasrat Kerajaan untuk memperkasakan ekosistem teknologi di Malaysia, selain menjadi peneraju ekosistem start-up menjelang 2030 seterusnya mencapai pembangunan sosio-ekonomi yang inklusif, bertanggungjawab dan mampan,” kata YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba.
Tambahnya, “Kerjasama antara Cradle dan Microsoft bukan sekadar untuk
menyediakan akses kepada teknologi digital kepada para usahawan, tetapi juga bagi
memastikan daya tahan ekonomi, kemahiran dan pengetahuan digital dapat dikuasai
dan seterusnya menyediakan persekitaran digital yang dipercayai serta selamat agar
perniagaan dapat berkembang maju.”
Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Encik Norman Matthieu Vanhaecke, “Kita sering lihat syarikat start-up di Malaysia menghadapi kesukaran untuk merealisasikan idea mereka.
Kebanyakannya berpotensi dan berdaya saing namun sukar mengambil peluang menggunakan teknologi yang sedia
ada. Justeru itu, Cradle sangat teruja untuk bekerja rapat dengan Mictosoft sebagai
rakan kolaborasi bagi mempertingkatkan kepakaran teknologi sekali gus membangunkan ekosistem start-up yang lebih mampan di Malaysia.”
Naib Presiden Kanan, Pembangunan Ekosistem Cradle, Encik Ahmad Kashfi Alwi
pula berkata, “Dengan pelbagai halangan yang dihadapi oleh start-up, MOSTI melalui
Cradle telah mengambil langkah untuk menyediakan sokongan jangka masa panjang
melalui program MYStartup bagi memperkasakan start-up melalui inisiatif-inisiatif pembangunan kapasiti yang lebih komprehensif. Ini diharap dapat memberi manfaat dan bimbingan kepada start-up untuk meningkatkan lagi daya saing dan
kebolehpasaran.”
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, Encik K. Raman, menjelaskan
Microsoft yang sudah 30 tahun berada di Malaysia mempunyai kepakaran teknologi dan keupayaan menembusi pasaran yang unik demi membantu matlamat start-up di
Malaysia.
Katanya, “Kami akan mengetengahkan platform Microsoft untuk Hab Pengasas Start-up di Malaysia sebagai sebahagian daripada jalinan kolaborasi dengan Cradle dan MOSTI. Ini menunjukkan komitmen berterusan Microsoft di bawah inisiatif Bersama Malaysia,” katanya.
Pada majlis pemeteraian MoU ini, sesi perbincangan bertemakan ‘Empowering
Startups with Technology’ turut diadakan dengan menghimpunkan barisan panel yang
terdiri daripada pemimpin-pemimpin industri iaitu YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor
Azman Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI, Puan
Azizah Ali, Ketua Pegawai Pemasaran dan Operasi, Microsoft Malaysia; Dr. Raymond
Choy, Ketua Pegawai Eksekutif DOC2US; dan Encik Patrick Hew, Ketua Pegawai
Teknologi Paywatch.