FOKUS KKD DALAM BELANJAWAN 2023 MALAYSIA MADANI TINGKAT CAPAIAN INTERNET DAN RANCAKKAN EKONOMI DIGITAL RAKYAT

  • February 24, 2023
  • 2 min read


Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menyambut baik pengumuman
Belanjawan 2023 yang merupakan cerminan prinsip Malaysia MADANI yang
berteraskan sistem nilai yang luhur serta komprehensif untuk manfaat rakyat.
Belanjawan 2023 berjumlah RM388.1 bilion berfokus kepada tiga tekad iaitu
pemacuan ekonomi yang terangkum dan mampan, reformasi institusi dan tatakelola
yang baik.
Sehubungan itu, Belanjawan 2023 Malaysia MADANI dengan peruntukan kepada
KKD berjumlah RM2.737 bilion akan mengutamakan kemudahan Internet untuk
rakyat, merealisasikan Dekad Keemasan Ekonomi Digital serta mendukung usaha
membangunkan industri kreatif.
Projek JENDELA akan dipercepatkan bagi kesalinghubungan digital di 47 kawasan
pengindustrian dan hampir 3,700 buah sekolah dengan peruntukan RM725 juta untuk
memastikan rakyat mendapat kemudahan Internet yang stabil. KKD menyambut baik
saranan kerajaan agar Digital Nasional Berhad (DNB) diuruskan dengan lebih telus.
Usaha ini penting bagi memastikan rakyat mendapat liputan 5G yang menyeluruh dan
pada harga yang berpatutan.
Peranan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) akan diperkasakan bagi membantu peniaga
kecil dengan pengetahuan ICT dan e-Dagang. Sekurang-kurangnya satu (1) PEDi
akan diwujudkan di setiap DUN bagi meningkatkan literasi digital dalam kalangan
rakyat serta menggalakkan penyertaan komuniti dalam aktiviti ekonomi digital seiring
dengan inisiatif KKD.
KKD melalui Perbadanan Ekonomi Digital (MDEC) akan melatih lebih ramai pekebun
kecil beradaptasi dengan teknologi digital menerusi program Digital AgTech ke
100 Pertubuhan Peladang Kawasan seluruh negara dengan peruntukan RM10 juta.

KKD juga amat mengalu-alukan usaha kerajaan mengukuhkan peranan Pusat
Respons Scam Kebangsaan (NSRC) bagi mengekang jenayah penipuan dalam
talian. Inisiatif kerajaan ini akan mempercepatkan usaha-usaha advokasi yang
dilaksanakan KKD melalui CyberSecurity Malaysia bagi memerangi jenayah penipuan
dalam talian.
Peruntukan Dana Kandungan Digital berjumlah RM102 juta diharap membuka lebih
banyak peluang kepada penggiat seni menghasilkan pelbagai karya kreatif seperti
filem, animasi dan muzik yang bermutu tinggi yang bukan sahaja berjaya di pasaran
tempatan malah mampu menembusi pasaran antarabangsa. Selain itu, bagi
menyokong industri kreatif negara, sumbangan kepada Tabung Komuniti Filem dan
Pembangunan Filem Kenegaraan di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional
Malaysia (FINAS) akan diberi potongan cukai manakala duti import serta cukai jualan
ke atas peralatan studio dan produksi penggambaran juga akan dikecualikan.
Dalam usaha membangunkan negara Malaysia MADANI, Belanjawan 2023
merupakan pemacu bagi mendepani cabaran ekonomi semasa dan menjamin
kesejahteraan rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *