Ikrar untuk menyokong tatakelakuan bagi industri filem, TV dan penerbitan
KUALA LUMPUR, 22 Oktober 2021 – Sekumpulan syarikat, anggota gabungan dan individu yang bekerja dalam industri Filem, TV dan Penerbitan yang dikenali sebagai INTEGRATED MALAYSIAN ACTORS NETWORK (IMAN), bersama PPFIM (PERSATUAN PENERBIT FILEM IKLAN MALAYSIA) telah mengadakan inisiatif untuk berikrar menyokong satu tatakelakuan bagi industri, yang meliputi hal-hal diskriminasi, gangguan dan buli.
Tatakelakuan ini telah disesuaikan daripada sebuah penerbitan untuk komuniti seni persembahan Malaysia oleh kumpulan seni FIVE ARTS CENTRE.
Sehubungan dengan satu kejadian biadab dan memberikan pengaruh buruk yang tersiar baru-baru ini, yang turut menunjukkan ketidakpekaan dan kehilangan sikap hormat menghormati, beberapa individu daripada industri telah sama-sama berikrar untuk memberikan komitmen bagi menghormati hak-hak dan kesejahteraan emosi setiap warga industri dan selain itu juga turut mengiktiraf kepelbagaian budaya dan identiti rakyat Malaysia.
Dengan berikrar untuk menyokong Tatakelakuan ini, mereka mengisytiharkan niat mereka untuk menggalakkan tindakan dan kelakuan khusus dalam setiap urusan profesional dan syarikat, ke arah memastikan para pekerja profesional industri menunjukkan integriti, sikap saling menghormati dan tingkah laku yang sopan. Tatakelakuan ini haruslah didukung dan dilaksanakan selaras dengan pembangunan dan penambahbaikan industri Filem, TV dan Penerbitan di Malaysia.
Antara pengikrar tersebut termasuklah:
- 29 syarikat
- 50 individu
- 1 anggota gabungan
Sudah tiba masanya setiap rakyat Malaysia berusaha sedaya upaya untuk lebih menghormati dan menghargai wanita dalam masyarakat dan perkara ini bermula dengan memiliki pendirian tegas dalam setiap fikiran, tindakan dan kelakuan kita.
Kami ingin mengesyorkan agar Tatakelakuan ini diguna pakai dalam setiap urusan profesional oleh seluruh pihak berkepentingan dalam industri. – UTV Media Msia