INISIATIF JENDELA TERIMA PENGIKTIRAFAN ANTARABANGSA DALAM ANUGERAH WSIS 2023

  • March 3, 2023
  • 2 min read


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ingin mengumumkan bahawa
inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), telah terpilih sebagai antara lima (5) Project
Champion dengan undian tertinggi di bawah Kategori C2 – Information and communication
infrastructure: an essential foundation for an inclusive information society, oleh World
Summit on the Information Society (WSIS) – WSIS Prizes 2023 anjuran Kesatuan
Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) baru-baru ini. Pemilihan JENDELA sebagai Project
Champion ini adalah sempena penantian bagi keputusan akhir pemenang yang akan
diumumkan pada Majlis Anugerah WSIS 2023 sempena WSIS Forum 2023 di ITU UN, Geneva,
Switzerland pada 14 Mac 2023.
Kejayaan ini merupakan satu pengiktirafan besar kepada MCMC yang telah bertungkus lumus
untuk merealisasikan inisiatif JENDELA yang beraspirasi untuk menyediakan liputan
kesalinghubungan dan penyediaan perkhidmatan Internet yang berkualiti untuk rakyat
Malaysia. Pihak MCMC juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua yang mengundi
dan memberi sokongan penuh terhadap inisiatif ini.
JENDELA yang merangkumi dua (2) fasa telah dibangunkan untuk meningkatkan secara
berterusan liputan kesalinghubungan dan penyediaan perkhidmatan Internet yang berkualiti
untuk manfaat rakyat, sektor perniagaan dan juga pihak berkepentingan. Menjelang hujung
2025, JENDELA beraspirasi untuk memperluaskan akses Gigabit bagi jalur lebar talian tetap
kepada sembilan (9) juta premis, 100% kawasan berpenduduk mendapat liputan Internet dan
mencapai purata kelajuan jalur lebar mudah alih pada 100Mbps.
JENDELA Fasa 1 (2020-2022) menyasarkan untuk memperluaskan akses Gigabit bagi jalur
lebar talian tetap kepada 7.5 juta premis, meningkatkan liputan jalur lebar mudah alih 4G
kepada 96.9% di kawasan berpenduduk, meningkatkan purata kelajuan jalur lebar mudah alih
kepada 35Mbps.

Sementara itu, JENDELA Fasa 2 (2023-2025) memberi tumpuan dalam penyediaan liputan
Internet bagi baki tiga peratus (3%) kawasan berpenduduk, memperluaskan akses Gigabit
bagi jalur lebar talian tetap kepada sembilan (9) juta premis.
Pengiktifaran ini adalah bukti komitmen Kerajaan dan MCMC untuk terus memperkasakan
kesalinghubungan dan memperkukuhkan ekosistem digital supaya rakyat dan negara akan
sentiasa bersedia untuk mendepani cabaran ekonomi semasa secara keseluruhan.
WSIS Prizes adalah satu pertandingan antarabangsa yang unik, dibangunkan bagi menilai dan
mengiktiraf projek cemerlang dalam melaksanakan strategi berorientasikan pembangunan
yang memanfaatkan ICT sebagai pemangkin kepada pembangunan. WSIS Prizes juga
merupakan satu platform untuk mengenal pasti dan mempamerkan kisah-kisah kejayaan dan
model yang boleh dicontohi, untuk menghargai usaha pihak-pihak berkepentingan atas
komitmen mereka dan nilai tambah yang diberikan kepada masyarakat ke arah mencapai
matlamat WSIS.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *