INISIATIF MCMC TERPILIH SEBAGAI CALON AKHIR DALAM ANUGERAH WSIS 2023
Orang Ramai Digalakkan Mengundi Projek Pelan Jalinan Digital Negara
(JENDELA) Dan Inisiatif Klik Dengan Bijak (KDB)
CYBERJAYA, 5 Januari 2023 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
Malaysia (MCMC) ingin menjemput orang ramai untuk mengundi projek Pelan
Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan Inisiatif Klik Dengan Bijak (KDB) bagi
Anugerah World Summit on The Information Society Prizes (WSIS) 2023 yang
dianjurkan oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU).
Inisiatif yang dibangunkan MCMC, iaitu Pelan JENDELA telah terpilih sebagai
calon akhir bagi kategori Infrastruktur Komunikasi dan Maklumat, manakala
KDB pula telah terpilih bagi kategori Dimensi Etika untuk Masyarakat
Bermaklumat.
Kedua-dua inisiatif ini tersenarai sebagai calon akhir bagi fasa pengundian dan
orang ramai boleh mengundi sebelum 25 Januari 2023 menerusi pautan:
https://www.itu.int/net4/wsis/stocktaking/Prizes/2023
Penyertaan Pelan JENDELA pada WSIS 2023 memberi fokus kepada
pembangunan infrastruktur digital yang menyeluruh bagi memperluaskan
liputan dan mempertingkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar dalam negara
yang membolehkan rakyat memanfaatkan penggunaan Internet dalam
kehidupan seharian walaupun negara berdepan dengan cabaran pertumbuhan
ekonomi. Pada masa sama, inisiatif ini juga akan membawa Malaysia setaraf
dengan negara-negara maju yang lain seperti Australia, Jepun, Singapura dan
Korea Selatan.
Sementara itu, penyertaan Insiatif KDB memfokuskan inisiatif untuk
meningkatkan pengetahuan dan pendidikan mengenai keselamatan Internet
dan mempromosi budaya penggunaan Internet yang positif, produktif dan
bertanggungjawab demi memastikan masyarakat terus mengamalkan budaya
hormat dan beretika ketika dalam talian.
Dalam Anugerah WSIS kali ini, MCMC akan bersaing dengan penyertaan
daripada negara-negara seperti China, Singapura, Indonesia, Emiriah Arab
Bersatu (UAE), Qatar, Oman dan lain-lain.
Terdapat 18 kategori yang dipertandingkan dalam anugerah ini, dan setiap
kategori mempunyai 20 penyerahan projek dari seluruh dunia. Pencalonan
insiatif MCMC ini membuktikan pengiktirafan masyarakat antarabangsa
terhadap projek-projek yang telah dibangunkan di Malaysia.
WSIS Prizes adalah satu pertandingan antarabangsa yang unik, dibangunkan
bagi menilai dan mengiktiraf projek cemerlang dalam melaksanakan strategi
berorientasikan pembangunan yang memanfaatkan ICT sebagai pemangkin
kepada pembangunan. WSIS Prizes juga merupakan satu platform untuk
mengenal pasti dan mempamerkan kisah-kisah kejayaan dan model yang boleh
dicontohi, untuk menghargai usaha pihak-pihak berkepentingan atas
komitmen mereka dan nilai tambah yang diberikan kepada masyarakat ke arah
mencapai matlamat WSIS.
MCMC pernah dinobatkan sebagai Juara Hadiah WSIS untuk tahun 2016, 2017,
2020 dan 2020 bagi projek “Komuniti Pintar Kemaman”, “Pembangunan e-
Majalah untuk Sekolah-Sekolah di Daerah Komuniti Pintar di Malaysia” dan
“Klik Dengan Bijak”.