KERAJAAN KOMITED BANTU PEKEBUN KECIL GETAH
- Merujuk kepada laporan akhbar bertajuk “Tiada lagi hasil getah
Malaysia?” disiarkan oleh akhbar Berita Harian, yang menyentuh
mengenai harga getah rendah dan berterusan tidak stabil,
Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menegaskan bahawa
Kerajaan sentiasa komited dalam membantu pekebun kecil
khususnya yang terlibat dalam sektor getah. - Harga produk ini adalah ditentukan oleh permintaan dan
penawaran antarabangsa. Selain itu, antara faktor-faktor lain yang
mempengaruhi harga getah asli adalah seperti prestasi pasaran
hadapan, harga minyak mentah dunia, kadar pertukaran mata wang
asing dan pertumbuhan ekonomi negara-negara pengeluar serta
pengimport utama getah dunia. - KPK telah melaksanakan pelbagai inisiatif antaranya seperti Insentif
Pengeluaran Getah (IPG), yang diperkenalkan sejak 2015 sehingga
31 Disember 2022. Sehingga kini, bantuan telah diagihkan kepada
207,128 pekebun kecil getah di seluruh negara dengan nilai
berjumlah RM446 juta (Semenanjung – RM313 juta; Sarawak – RM4
juta dan Sabah – RM129 juta). Terkini, Kerajaan juga telah bersetuju
menaikkan Paras Harga Pengaktifan (PHP) IPG daripada RM2.50
kepada RM2.70 sekilogram dengan peruntukan berjumlah RM350
juta. - Kerajaan turut telah memperkenalkan Program Insentif
Pengeluaran Lateks (IPL). Setiap peserta pekebun kecil getah yang
menyertai program IPL akan menerima insentif tunai sebanyak
RM1.00 sekilogram bagi 100 peratus kandungan getah kering
(KGK). Para peserta juga akan menerima bantuan di dalam bentuk
input pertanian seperti baja dan racun yang bernilai RM850 bagi
setiap hektar secara sekali beri (one-off).
- Lembaga Getah Malaysia (LGM) juga telah menambah baik proses
pembayaran bagi memudahkan penyaluran bantuan seperti IPG dan
IPL. Mulai 1 Januari 2021, pembayaran IPG telah dibuat secara
terus ke akaun bank pekebun kecil dan mereka tidak perlu lagi
membuat permohonan secara manual di pejabat-pejabat LGM.
Pekebun kecil yang memiliki Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G)
diwajibkan untuk menjual getah kepada peniaga getah berlesen LGM
yang mengguna pakai aplikasi RRIMniaga. RRIMniaga merupakan
satu aplikasi telefon pintar yang dibangunkan oleh LGM untuk
merekodkan urus niaga jual beli getah. Ia juga dikuatkuasakan mulai
1 Januari 2021. - Bagi menghadapi cabaran kekurangan buruh asing dan menarik
minat generasi pelapis, LGM telah memperkenalkan konsep
pembangunan getah secara berkelompok. Kolaborasi strategik
antara kerajaan dan entiti bukan kerajaan atau syarikat swasta telah
diperkenalkan melalui penambahbaikan model dan struktur operasi
pekebun kecil dan rangkaian bekalan getah di peringkat huluan. Ini
akan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing selain
dapat menarik minta generasi pelapis untuk berkerjaya dalam industri
getah. Projek ini yang dikenali sebagai Program Transformasi
Perusahaan Getah Negara (TARGET) dijangka bukan sahaja
membantu golongan muda tetapi turut memberi pulangan yang baik
kepada pekebun kecil getah. - Kerajaan tidak ketandusan teknologi baru dalam membangunkan
industri getah negara. LGM telah mengambil inisiatif dalam
menggalakkan aktiviti R&D untuk penghasilan klon-klon getah yang
berkualiti tinggi untuk meningkatkan produktiviti dan automasi dalam
sektor huluan industri getah . Kajian yang mendalam dalam sektor
hiliran khususnya bagi penghasilan produk-produk berasaskan getah
yang bernilai tambah turut dilaksanakan.