Kerajaan Komited memperkukuh Eko Sistem Blockchain dan rangka kerja tokenisasi aset negara

Kementerian Digital menegaskan komitmen berterusan Kerajaan dalam memacu pembangunan teknologi blockchain dan tokenisasi aset bagi memastikan kesinambungan inisiatif yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju
Rantaian Blok Nasional 2021-2025.
Kementerian Digital telah dipertanggungjawabkan sebagai penyelaras utama untuk membangunkan dasar dan hala tuju strategik teknologi digital, termasuk teknologi blockchain. Sejajar dengan peranan ini, sebuah Pasukan Kerja (Task Force) Dasar Blockchain Negara yang dianggotai oleh pakar sektor awam dan swasta telah ditubuhkan.
Pasukan kerja ini akan memastikan hala tuju blockchain negara yang dibangunkan adalah holistik dan inklusif.
Fokus utama Pasukan Kerja ini merangkumi:
● Mengenal pasti keutamaan dan fokus strategik pembangunan serta
penerapan teknologi blockchain di Malaysia, meliputi aspek kripto dan
non-kripto.
● Mengkaji implikasi etika, undang-undang, dan sosial teknologi
blockchain.
● Mencadangkan mekanisme untuk menggalakkan kerjasama antara
akademik, industri, dan Kerajaan dalam bidang blockchain.
● Mengemukakan strategi bagi pembangunan bakat dan pendidikan
dalam teknologi blockchain.
Kementerian Digital kini giat meneliti komponen utama dalam pembangunan
dasar dan hala tuju blockchain negara, bertujuan meningkatkan kecekapan,
keselamatan, dan ketelusan sektor pentadbiran kerajaan, industri, dan rakyat.
Penekanan turut diberikan kepada pengaplikasian teknologi blockchain menerusi tokenisasi, terutamanya dalam aspek pengurusan aset dan
pembangunan pasaran modal bagi menjamin keselamatan transaksi dan kestabilan ekosistem digital.
Berhubung rangka kerja kawal selia bagi tokenisasi aset dan blockchain, Kerajaan sedang membangunkan satu rangka kerja melalui Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bank Negara Malaysia (BNM).
Usaha bersepadu ini mencerminkan kesungguhan Kerajaan untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi inovasi teknologi digital, sambil
memastikan kerangka kawal selia yang teguh untuk melindungi kepentingan awam dan menjamin kestabilan pasaran.




