KOLAM TAKUNGAN BANJIR KAMPUNG BOYAN (SUNGAI BUNUS)
DBKL ingin menjelaskan bahawa permohonan pembatalan perizaban ini dibuat oleh pihak DBKL bertujuan untuk mengasingkan tapak yang berfungsi sebagai kolam takungan banjir dan tapak di kawasan pinggir kolam untuk
dimanfaatkan sebagai kawasan lapang.
Permohonan ini perlu dibuat bagi menyelaraskan tugas agensi
bertanggungjawab iaitu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) supaya terus
mengurus dan menyelenggara kawasan kolam takungan banjir manakala
DBKL pula akan mengurus dan menyelenggara kawasan pinggir kolam untuk
tujuan kawasan lapang. Dalam hal ini, ingin dimaklumkan bahawa kawasan
pinggir kolam ini telahpun dibangunkan oleh pihak DBKL sebagai tapak kebun
kejiranan bandar di bawah program Local Agenda 21 Kuala Lumpur, bersama
rakan-rakan strategik yang merupakan badan-badan bukan kerajaan serta
persatuan-persatuan penduduk.
Untuk makluman, kerja-kerja pengukuran sempadan telah dibuat oleh jurukur
tanah berlesen berdasarkan sempadan gigi air dan tambahan 1 meter
sebagai kawasan anggaran paras air tertinggi bagi memastikan kapasiti dan
fungsi kolam takungan banjir tidak akan terjejas. Dimaklumkan juga pewartaan semula tapak-tapak ini bagi maksud kolam
takungan banjir dan kawasan lapang akan dilaksanakan selepas kelulusan
muktamad diperolehi daripada pihak Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah
Persekutuan.
DBKL ingin menegaskan bahawa permohonan pembatalan rizab ini bukan
bagi tujuan pembangunan komersial / hartanah sebaliknya untuk
menyelaraskan bidang dan tanggungjawab agensi kerajaan berkaitan iaitu
pihak JPS bagi kawasan kolam takungan banjir dan DBKL bagi mengurus dan
menyelenggara kawasan lapang.