Koperasi Sekolah Mampu Sasar Perolehan RM2 Juta

  • February 7, 2024
  • 3 min read
Koperasi Sekolah Mampu Sasar Perolehan RM2 Juta

SUBANG JAYA, 6 FEBRUARI 2024 Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) yakin koperasi sekolah mampu meningkatkan perolehan sehingga RM2 juta menjelang hujung tahun 2024.


Sasaran itu dilihat mampu dicapai memandangkan koperasi sekolah pada masa ini giat terbabit dalam sektor perniagaan yang disertai koperasi dewasa.


Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Cooperative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, ia juga susulan daripada kejayaan Koperasi Kolej Vokasional (KV) Tanah Merah Berhad mencatat perolehan RM2 juta sehingga tahun kewangan 2023.


Katanya, kejayaan itu menjadi bukti kukuh bahawa koperasi sekolah mampu menguruskan perniagaan berimpak tinggi dalam meningkatkan perolehan dan membawa keuntungan kepada anggotanya.


“Selain kejayaan unggul Koperasi KV Tanah Merah Berhad, kemampuan koperasi sekolah secara keseluruhannya juga dibuktikan dengan kemampuan 22 buah koperasi sekolah yang mencapai perolehan melebihi RM1 juta sehingga tahun kewangan 2023.


“Perolehan memberangsangkan oleh koperasi sekolah ini turut menerima pengiktirafan oleh Kementerian Pendidikan sebagai aktiviti yang menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara sekali gus membantu sekolah menguruskan aktiviti ko-kurikulum serta pembangunan
sekolah khususnya melalui tabung khas yang diwujudkan oleh koperasi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Penutupan Anugerah Kecemerlangan Koperasi Sekolah (AKKS) Pelancongan Koperasi Sekolah (PKS) Dan Ikon Koperator Muda 2023 Peringkat Kebangsaan yang diadakan di sini.

Seramai 550 orang pelajar dan guru yang terdiri daripada anggota koperasi dan Anggota Lembaga Koperasi (ALK) menghadiri Anugerah Kecemerlangan Koperasi Sekolah (AKKS), Pelancongan Koperasi Sekolah (PKS) dan Ikon Koperator Muda Koperasi Sekolah 2023
Peringkat Kebangsaan yang berlangsung dari 5 Januari hingga 7 Januari 2024.


AKKS dan PKS diadakan untuk memberi pengiktirafan kepada koperasi sekolah yang terbaik di peringkat negeri dan kebangsaan serta diharap dapat meningkatkan kesedaran komuniti
mengenai koperasi serta peranan koperasi sekolah dalam melahirkan murid yang
berpengetahuan dan kompeten di samping memberikan pendidikan berkualiti berdasarkan amalan koperasi.


Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata, dalam hal pembangunan koperasi sekolah, ANGKASA berpegang teguh dengan pendirian bahawa ianya sebagai wadah untuk murid mendapat latihan
keusahawanan dan memupuk nilai kerjasama, kesaksamaan, perpaduan.


“Walaupun ANGKASA kerap menekankan tentang jumlah perolehan, ini tidak bermakna kita cuba untuk ‘mengkomersialkan’ koperasi sekolah. ANGKASA berpandangan koperasi sekolah
berpotensi menjana pendapatan tanpa mengganggu pembelajaran murid dalam kelas, malah terbukti mampu memberi latihan pembelajaran yang berkesan di luar kelas.

“Penjanaan pendapatan ini bukan untuk keuntungan semata-mata, malah koperasi dapat menjual keperluan pelajar, guru dan sekolah pada harga yang jauh lebih murah. Ini secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan beban pelajar dan kos sara hidup.

Keuntungan yang diperolehi juga akan dipulangkan kepada pelajar-pelajar dalam bentuk dividen dan pada masa yang sama membantu sekolah menyediakan kemudahan untuk pelajar,” katanya,


Sehingga 30 Jun 2023, bilangan koperasi sekolah yang berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia adalah sebanyak 2,485 buah dengan keanggotaan seramai 2,047,124 orang syer/yuran keanggotaan berjumlah RM29.79 juta telah berjaya menyumbang kepada pemilikan
aset bernilai RM440.12 juta dan perolehan sehingga 31 Disember 20222 sebanyak RM298.76 juta.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *