KPDN TERUS PANTAU DAN PERIKSA HARGA BARANG SELURUH NEGARA

KAJANG, 3 NOVEMBER 2023 – Yang Berhormat Senator Puan Hajah Fuziah
binti Salleh, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara
Hidup hari ini telah melakukan pemeriksaan dan pemantauan.
harga barang di
Pasar Awam Presint 8, Putrajaya dan Pasar Awam Kajang, Selangor.


- Tujuan pemeriksaan dan pemantauan ini dilaksanakan bagi meninjau situasi
semasa yang berlaku di lapangan berhubung penjualan ayam susulan
penamatan subsidi dan kawalan ke atas harga ayam bermula 1 November
2023 seperti yang telah diumumkan oleh YB Menteri Pertanian Dan Keterjaminan
Makanan (KPKM) pada 30 Oktober 2023. - KPDN telah menggerakkan lebih 2,200 orang anggota penguat kuasa di
seluruh Negara untuk menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan di bawah
Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] bagi memantau situasi
harga ayam yang telah diapungkan mengikut harga pasaran semasa dan
memastikan tidak berlaku kenaikan harga yang tidak munasabah. - Pada masa yang sama, KPDN komited dalam menjalankan pemantauan
harga barang yang dilaksanakan oleh lebih daripada 900 Pegawai Pemantau
Harga KPDN setiap hari melibatkan hampir 1,500 premis meliputi pasar basah,
hypermarket dan supermarket, pasar mini dan kedai runcit di seluruh Malaysia.


- Berdasarkan pemantauan yang dilakukan oleh KPDN pada 2 November
2023, kedudukan harga purata Ayam Bersih Standard di peringkat Nasional
adalah RM8.51/kg manakala harga purata di Semenanjung Malaysia adalah
RM8.46/kg. Sementara itu, harga purata bagi Ayam Bersih Standard di Sabah
adalah RM11.61/kg, Sarawak adalah RM10.14/kg dan Wilayah Persekutuan
Labuan pula adalah RM12.50/kg.
- KPDN juga ingin memberikan amaran keras kepada semua peniaga agar
sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa dengan
mempamerkan tanda harga dengan jelas dan menggunakan alat timbang dan sukat
yang telah ditentusahkan bagi mengelakkan dikenakan tindakan tegas oleh pihak
Kementerian. - Pengguna turut disarankan agar memanfaatkan sepenuhnya aplikasi mudah
alih Price Catcher semasa berbelanja dan membuat perbandingan harga serta
merancang perbelanjaan secara berhemah.