KPDNHEP sambut baik saranan YAB Perdana Menteri menyelesaikan isu harga dan bekalan ayam.

  • May 24, 2022
  • 3 min read
KPDNHEP sambut baik saranan YAB Perdana Menteri menyelesaikan isu harga dan bekalan ayam.


Putrajaya, 24 May 2022 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal
Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyambut baik saranan dan solusi yang telah
dikemukakan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dalam
menangani isu bekalan dan harga ayam.
Melalui mesyuarat Kabinet yang telah diadakan semalam, Kerajaan telah
bersetuju untuk mengambil beberapa tindakan jangka pendek dan panjang
bagi mengatasi masalah dan isu barangan, kepenggunaan dan harga barang
yang telah memberikan kesan kepada Keluarga Malaysia.
KPDNHEP bersedia bekerjasama dengan mana-mana Kementerian dan
agensi yang berkaitan untuk bersama-sama mencari dan melaksanakan
tindakan penyelesaian bagi merealisasikan saranan yang telah dikemukakan
oleh YAB Perdana Menteri.


Ini termasuklah mengguna pakai undang-undang yang tertakluk di bawah
bidang kuasa Kementerian ini bagi memastikan kebajikan pengguna dan
peniaga dijaga.
Menyentuh mengenai laporan bahawa wujud kartel yang mengawal harga dan
pengeluaran ayam, berdasarkan punca kuasa yang telah diperuntukkan
kepada pihak Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) melalui Akta
Persaingan 2010, pihak MyCC telah menubuhkan pasukan khas pada awal
Februari 2022 untuk menyiasat dakwaan terdapatnya pelakuan anti-
persaingan merangkumi perjanjian anti-persaingan atau/dan penyalahgunaan
kedudukan dominan dalam pasaran yang boleh meningkatkan harga-harga
barangan dalam pasaran industri ayam.

Dalam hal ini, pihak MyCC telah memulakan penyiasatan terhadap kesemua
pemain industri ayam di seluruh Malaysia dari peringkat huluan hingga hiliran.
Aktiviti penyiasatan ini dijangka akan tamat pada akhir Jun 2022 dan
penemuan daripada penyiasatan ini akan dibentangkan kepada Anggota-
anggota Suruhanjaya yang bertindak sebagai sebuah badan separa
kehakiman yang mempunyai kuasa memutuskan sama ada terdapat
pelanggaran terhadap Seksyen 4.
Sekiranya didapati tuduhan kartel itu mempunyai asas yang kuat, maka pihak
MyCC dijangka mengeluarkan Keputusan Cadangan, di bawah Seksyen 36
Akta yang sama. Kemudiannya, pihak yang disiasat itu akan diberi ruang untuk
mempertahankan diri mereka melalui sesi representasi bertulis dan lisan
sebelum Suruhanjaya membuat keputusan muktamad.
Jika mereka didapati melanggar Seksyen itu, mereka boleh dikenakan penalti
kewangan sehingga 10% dari jualan produk atau perkhidmatan mereka
selama mana pelanggaran itu berlaku.
Saya juga ingin menegaskan bahawa Kenyataan sahnya wujud kartel
sepertimana yang dilaporkan oleh Sinar Harian semalam adalah tidak tepat
sama sekali kerana kes ini masih disiasat dan belum dapat dibuktikan lagi.


Berkaitan Penguatkuasaan Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang
membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap mana-mana individu
dan syarikat yang menyorok, menyimpan atau melakukan unsur-unsur sabotaj
terhadap bekalan ayam, KPDNHEP melalui Bahagian Penguat Kuasa
memberi jaminan akan menjalankan siasatan sekiranya wujud elemen-elemen
perlanggaran terhadap akta ini di semua rantaian bekalan dan peruncitan.
Akta ini juga akan digunapakai terhadap mana-mana penjual yang
mengenakan syarat dan menjual harga barangan kawalan melebihi harga
yang ditetapkan.

Semua peniaga dipohon untuk memberikan kerjasama dan sekiranya
pengguna mempunyai sebarang maklumat berkenaan salah laku peniaga
berhubung perkara ini boleh melaporkan kepada pihak KPDNHEP berserta
maklumat yang lengkap melalui saluran berikut:


i. WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000
ii. Portal Aduan; e-aduan.kpdnhep.gov.my
ii. Call Centre 1-800-886-800
iii. Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my
iv. Ez ADU KPDNHEP
v. Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245


DATO SRI ALEXANDER NANTA LINGGI
MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN HAL EHWAL PENGGUNA
PUTRAJAYA, 24 MEI 2022

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *