LAWATAN KERJA RASMI KE INDONESIA USAHA KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI KUKUHKAN KERJASAMA SERANTAU DALAM SEKTOR AGRIKOMODITI

  • February 9, 2023
  • 2 min read
LAWATAN KERJA RASMI KE INDONESIA USAHA KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI KUKUHKAN KERJASAMA SERANTAU DALAM SEKTOR AGRIKOMODITI


YAB Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan
Komoditi, Dato ’Sri Haji Fadillah Haji Yusof, akan berangkat ke Jakarta
pada 8 Februari 2023 untuk lawatan kerja rasmi selama tiga hari. Beliau
akan diiringi delegasi dari Kementerian Perladangan dan Komoditi dan
agensi-agensi di bawahnya.
Bagi sektor sawit, pertemuan akan diadakan dengan Yang Terhormat
Airlangga Hartarto, Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia.
Perkara utama yang akan dibincangkan ialah berkaitan strategi yang
perlu disusun secara terancang untuk menangani Peraturan Kesatuan
Eropah terutamanya European Union Deforestation Regulation (EUDR)
yang meletakkan industri sawit dalam risiko. Selain itu, kerjasama
melalui Council of Palm Oil Producing Countries (CPOPC) akan terus
dipertingkat bagi kepentingan bersama.
Malaysia berhasrat untuk mengukuhkan pakatan negara pengeluar
minyak sawit dan menggiatkan kempen positif secara bersama di
samping mengadakan dialog dengan pelbagai pihak berkepentingan
termasuk negara pengeluar dan pengguna minyak sawit. Tindakan ini
merupakan salah satu usaha untuk membetulkan persepsi yang tidak
baik ke atas produk minyak sawit. Minyak sawit merupakan minyak
sayuran yang paling banyak dikawal selia melalui akta dan peraturan.
Selain itu, keperluan persijilan di peringkat antarabangsa dan domestik
seperti Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) turut dipenuhi.
Manakala bagi sektor getah, pertemuan akan diadakan dengan Yang
Terhormat Dr. Zulkifli Hasan, Menteri Perdagangan Indonesia, bagi
membincang dan memperkukuh kerjasama sedia ada antara Malaysia
dengan Indonesia melalui International Tripartite Rubber Council
(ITRC) dan Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT).
Selain itu, perbincangan juga akan memberi tumpuan kepada
cadangan penubuhan ASEAN Rubber Council (ArCo) di bawah
ASEAN.

Kerjasama Malaysia dan Indonesia amat penting di peringkat
antarabangsa dengan organisasi pelbagai hala termasuk Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu bagi mendesak pensijilan dan rangka kerja di
peringkat global. Kerjasama ini penting kerana isu persijilan dan
kebolehjejakan (traceability) merupakan elemen yang dititikberatkan
dalam pelaksanaan EUDR dan akses kepada pasaran global.
Kementerian berharap lawatan ini akan menggerakkan langkah
tersusun secara kolektif demi menjaga kepentingan industri sawit
daripada serangan pihak luar terutamanya EU melalui halangan
perdagangan yang berbentuk diskriminatori.
Hubungan Malaysia dan Indonesia akan terus dipererat menerusi
kerjasama melalui aktiviti penyelidikan dan pembangunan serta aplikasi
teknologi untuk sektor agrikomoditi. Kepentingan pekebun kecil di
kedua-dua negara juga akan terus dipertahankan selain melindungi hak
mereka serta memperoleh pendapatan yang terjamin dan saksama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *