Maklum Balas PERKESO kepada kenyataan oleh Menteri Komunikasi dan Digital PERKESO

  • July 22, 2023
  • 3 min read
Maklum Balas PERKESO kepada kenyataan oleh Menteri Komunikasi dan Digital PERKESO

MAKLUM BALAS PERKESO KEPADA KENYATAAN OLEH MENTERI KOMUNIKASI DAN DIGITAL PERKESO merujuk kepada laporan berita hari ini tentang hasrat Kementerian Komunikasi dan Digital untuk mengadakan perbincangan bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan pihak-pihak berkaitan mengenai kebajikan anggota media di negara ini.


Selaras dengan matlamat PERKESO untuk memperluaskan perlindungan keselamatan
sosial kepada semua golongan pekerja supaya tiada yang terpinggir, pihak PERKESO
menyambut baik cadangan yang diutarakan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, YB
Fahmi Fadzil itu.


Selain daripada memberi perlindungan kepada wartawan yang bekerja dengan majikan
di bawah “Contract of Service” menerusi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4),
PERKESO juga melindungi mereka yang bekerja sendiri atau yang di bawah “Contract
for Service” menerusi Akta Keselamatan Sosial Perkerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).


Pihak PERKESO percaya ramai wartawan sambilan atau “stringer” di negara ini bekerja
di bawah Contract for Service, jadi mereka layak kepada perlindungan di bawah Akta
789.


Tidak seperti Contract of Service yang mentakrifkan hubungan majikan-pekerja dengan terma dan syarat pekerjaan termasuk manfaat-manfaat kepada pekerja, Contract for
Service adalah perjanjian di antara syarikat dan penyedia perkhidmatan iaitu kontraktor
bebas seperti orang yang bekerja sendiri atau vendor, dengan bayaran untuk melaksanakan tugasan atau projek.


PERKESO telah memperkenalkan perlindungan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) untuk orang bekerja sendiri melalui Akta 789 yang berkuat kuasa mulai 1 Jun 2017.

Para wartawan termasuk stringer yang berstatus sambilan dengan mana- mana organisasi dan syarikat media layak mendapat perlindungan SKSPS di mana caruman kepada skim ini adalah secara sukarela.

SKSPS ini memberi perlindungan kepada golongan bekerja sendiri daripada bencana
pekerjaan sendiri termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan perjalanan sewaktu menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri.

Skim ini menyediakan manfaat seperti Faedah
Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal, Elaun Layanan Sentiasa, Kemudahan Pemulihan Jasmani/Vokasional, Faedah Orang Tanggungan, Faedah Pengurusan Mayat, dan Faedah Pinjaman Pendidikan.


Untuk memudahkan individu bekerja sendiri mendapat perlindungan SKSPS, PERKESO
menyediakan empat (4) Pelan Caruman mengikut pilihan masing-masing dengan
caruman serendah RM157.20 setahun atau RM13.10 sebulan.


Bagi wartawan sambilan di bawah Contract for Service, mereka layak menerima insentif
Belanjawan 2023 iaitu SPS Padanan Caruman bagi caruman SKSPS di bawah kategori
SPS Usahawanita 2.0 untuk wartawan sambilan wanita dan kategori SPS Servis untuk
wartawan sambilan lelaki dan wanita.

Untuk meringankan bebanan individu bekerja
sendiri, Kerajaan menerusi SPS Padanan Caruman, membiayai 80 peratus daripada
bayaran caruman SKSPS bagi Pelan Caruman 2 iaitu sebanyak RM186.20 manakala
individu bekerja sendiri hanya perlu membayar baki 20 peratus atau RM46.60 untuk
mencukupkan bayaran Pelan 2 Caruman SKSPS bernilai RM232.80 bagi perlindungan
selama 12 bulan.


PERKESO amat mengalu-alukan kerjasama dengan mana-mana pihak bagi memperluaskan liputan jaringan keselamatan sosial kepada golongan bekerja sendiri.


Sehingga kini, hanya kira-kira 666,000 individu bekerja sendiri di seluruh negara dilindungi SKSPS berbanding lebih 2.9 juta orang bekerja sendiri di negara ini.


PERKESO amat prihatin kepada mereka yang masih belum dilindungi SKSPS kerana
kebajikan mereka dan keluarga tidak dapat dibela PERKESO sekiranya mereka terlibat
dalam kemalangan, mengalami penyakit khidmat ataupun meninggal dunia yang
berkaitan dengan aktiviti perkerjaan sendiri.
Pada 16 Julai lalu, sewaktu menziarahi wartawan sambilan, Encik Ng Kan Seng di
Kampar, Perak, YB Fahmi Fadzil menyatakan beliau bakal mengadakan perbincangan
dengan PERKESO bagi memastikan nasib golongan media termasuk wartawan sambilan
terbela. Ng Kang Seng, 68, yang pernah bekerja dengan akhbar seperti Nanyang Siang Pau, Kwong Wah Yit Poh, China Press dan Sin Chew Daily, kini uzur selain perlu menjaga seorang abang yang merupakan orang kurang upaya (OKU).


PERKESO komited melindungi golongan media yang layak kerana pengamal media memainkan peranan penting dalam mempromosi dan menyebarluas agenda
pemerkasaaan perlindungan keselamatan sosial di negara ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *