Malaysia kekalkan rangkaian borong tunggal bagi pelaksanaan rangkaian 5G

  • March 16, 2022
  • 3 min read
Malaysia kekalkan rangkaian borong tunggal bagi pelaksanaan rangkaian 5G

Kementerian Kewangan (“MOF”) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia
(“KKMM”) hari ini mengumumkan keputusan Kerajaan untuk mengekalkan
pelaksanaan rangkaian 5G secara Rangkaian Borong Tunggal (Single Wholesale Network — “SWN”), dengan membuka ruang untuk syarikat-syarikat telekomunikasi memegang ekuiti dalam Digital Nasional Berhad (DNB).


Susulan pelbagai sesi libat urus bersama Ahli Parlimen Kerajaan, Ahli Parlimen Pembangkang, syarikat-syarikat telekomunikasi, dan juga masyarakat sivil, Kerajaan telah memutuskan bahawa model SWN yang diterajui oleh DNB berdasarkan model “pemulihan kos” dan “berpandukan penawaran”, bersekali dengan penyertaan ekuiti oleh syarikat-syarikat telekomunikasi merupakan penyelesaian terbaik untuk
mempercepatkan pelaksanaan rangkaian 5G dengan objektif untuk menggalakkan
penggunaan 5G oleh Rakyat.

Penyertaan syarikat-syarikat telekomunikasi dalam DNB membolehkan mereka terlibat dalam pelaksanaan rangkaian 5G negara.
Pengalaman syarikat telekomunikasi dalam membangunkan rangkaian 3G dan 4G di
Malaysia juga boleh membantu dalam melancarkan pelaksanaan rangkaian 5G di
Malaysia.

Selain itu, pelaksanaan model SWN ini adalah akan memastikan tiada implikasi
kewangan tambahan ke atas kontrak yang telah termeterai dengan penyedia
perkakasan rangkaian yang dilantik iaitu Ericcsson (Malaysia) Sdn. Bhd. yang telah
merangka pelan pelaksanaan dengan mengoptimumkan kerja kontrak dan
perkhidmatan bagi vendor tempatan, dengan anggaran 61% daripadanya dapat
memanfaatkan kepentingan Bumiputera.


Kerajaan, yang setakat ini memiliki 100 peratus ekuiti DNB, kini telah bersetuju
untuk menawarkan sehingga 70 peratus pegangan ekuiti DNB kepada syarikatsyarikat telekomunikasi, manakala Kerajaan akan terus memegang 30 peratus.


Pemilikan, nilai ekuiti dan aspek lain berkaitan cadangan penyertaan ekuiti ini adalah
tertakluk kepada rundingan antara DNB dan syarikat-syarikat telekomunikasi, di mana
perjanjian disasarkan untuk dimuktamadkan dalam masa terdekat.


Pelaksanaan rangkaian dan infrastruktur 5G merupakan tonggak utama ke arah
merealisasikan aspirasi ekonomi digital negara, seperti yang terkandung di dalam
Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan Rancangan Malaysia
Ke-12 (RMK-12).

Pendekatan perkongsian awam-swasta Keluarga Malaysia ini juga akan memudahkan DNB mencapai sasarannya untuk meliputi 80 peratus kawasan berpenduduk negara menjelang 2024, di mana 5G akan dibekalkan pada harga borong kurang daripada RM0.20 setiap Gigabait (GB), lebih rendah daripada kos
semasa untuk menghasilkan 4G.


“Ekonomi digital menyediakan peluang baharu yang luar biasa kepada Malaysia
terutamanya dalam mempercepatkan kesalinghubungan di seluruh negara dalam era
pasca pandemik ini, untuk memudahkan usaha pemulihan serta pencapaian status negara berpendapatan tinggi.

Pelaksanaan 5G akan memacu transformasi sosioekonomi negara dan ini dianggarkan akan menyumbang sebanyak RM650 bilion
kepada nilai KDNK sehingga 2030. Pengekalan model SWN juga merupakan pendirian tegas Kerajaan terhadap kesinambungan dasar di Malaysia.

Ia juga melambangkan model perkongsian awam-swasta Malaysia yang kukuh, serta
ekosistem pembiayaan sektor swasta yang mantap, yang secara keseluruhan akan
meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia,” kata YB Senator Datuk Seri
Utama Tengku Zafrul Abdul Aziz, Menteri Kewangan.

Dengan mengumpulkan kesemua spektrum yang dikenalpasti untuk 5G bagi penggunaan eksklusif DNB, pemain industri yang melanggan perkhidmatan secara borong akan dapat memberi kualiti perkhidmatan yang tinggi hasil penggunaan spektrum yang optimum.

Satu rangkaian juga akan memastikan penjimatan kos. Penjimatan kos ini akan dikongsi dengan pemain industri dan seterusnya kepada pengguna perkhidmatan 5G.


“Rakyat seharusnya menikmati akses kepada perkhidmatan 5G berkualiti tinggi
secara adil, saksama dan pada harga berpatutan, terutamanya untuk membantu
mempercepatkan pemulihan ekonomi Malaysia pasca pandemik di tahun-tahun akan
datang. Model SWN akan membantu merapatkan ‘jurang digital’ bandar-luar bandar
bagi membolehkan kesemua Rakyat Malaysia menikmati perkhidmatan 5G berkualiti
tinggi dan dibekalkan secara meluas kepada mereka melalui syarikat telekomunikasi,”
kata Yang Berhormat Tan Sri Datuk Seri Panglima TPr Annuar Haji Musa, Menteri
Komunikasi dan Multimedia.


Pengekalan SWN ini secara langsung meneruskan semua perancangan, pembelian
peralatan dan pelantikan syarikat tempatan dalam melaksanakan kerja pembangunan
rangkaian. Ia juga akan mengekalkan kontrak dengan pembekal peralatan yang dipilih
secara tender terbuka berdasarkan amalan terbaik antarabangsa.


DNB seterusnya akan dikawal selia oleh KKMM selaku Kementerian yang bertanggungjawab ke atas industri komunikasi melalui SKMM, sepertimana syarikatsyarikat telekomunikasi lain. MOF pula akan terus memantau DNB dari segi tadbir urus dan sebagai pemegang saham. – UTV Media Msia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *