Mandat kepada Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah untuk meneruskan peranannya sebagai Presiden ANGKASA dan Dr. Mohd Azlan Yahya sebagai Anggota Lembaga ANGKASA.
Mesyuarat Agung Perwakilan ANGKASA Ke-36 (MAPA 2022) yang berlangsung hari ini (28 Mei 2022) telah memberi mandat kepada Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah untuk meneruskan peranannya sebagai Presiden ANGKASA dan Dr. Mohd Azlan Yahya sebagai Anggota Lembaga ANGKASA.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah yang juga Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO) dan Naib Presiden International Co-operative Alliance – Asia and Pacific (ICA-AP) bertanding mewakili Koperasi Kariah Masjid Kampung Lubuk Kulit Lipis Berhad, Pahang III (Barat) manakala Dr. Mohd Azlan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Institusi Pendidikan ICA-AP (ICEI) dan Naib Pengerusi Jawatankuasa Pengguna ICA-AP mewakili Gabungan Koperasi Siswa Malaysia Berhad, Kedah.
Pemilihan tersebut dibuat menerusi penganjuran MAPA 2022 secara maya menerusi aplikasi Zoom Tele-Conferencing dan secara hibrid bertempat di Auditorium ANGKASA, Kelana Jaya.
MAPA 2022 sekali lagi mencatat sejarah tersendiri apabila buat kali kedua penganjurannya dijalankan dengan penyertaan seramai 1,651 perwakilan berdaftar daripada 1,449 buah koperasi Ahli ANGKASA dari seluruh negara. Mesyuarat turut disertai Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penyeliaan Tadbir Urus SKM, Encik Cik Soh @ Mohd Shaharudin Ismail.
Terdahulu, dalam ucapan perasmian yang disampaikan oleh Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, beliau menyatakan, ANGKASA akan terus memperkasakan peranannya di peringkat global melalui usaha memperkukuhkan model Koperasi Sekolah dan Koperasi Kariah Masjid (KKM) di negara ASEAN.
Ujarnya, inisiatif pemerkasaan kedua-dua model ini adalah bertujuan untuk meluaskan jaringan perniagaan dua hala antara negara, di samping memperkenalkan kejayaan konsep Koperasi Sekolah dan KKM di mata dunia selaras dengan hasrat ANGKASA yang mahu mengambil peluang meneroka pasaran ASEAN dengan mengenengahkan produk dan perkhidmatan ini, memandangkan pasaran pemasarannya yang cukup meluas.
“Sebagai contoh, trend global membabitkan ekonomi halal menerusi penggunaan perkhidmatan dan barangan halal dijangka mencecah AS$2.4 trilion menjelang 2024 dan ini adalah peluang terbaik untuk mempromosikan KKM di negara luar.
“Selain itu, dengan jumlah penduduk negara ASEAN yang mencecah 661.8 juta penduduk dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN sebanyak USD 3 trilion membuktikan peluang pemasaran yang cukup besar sekiranya dimanfaatkan oleh gerakan koperasi negara ini,” katanya.
Tambah Datuk Seri Dr. Abdul Fattah, ANGKASA juga mengambil peranan bersama-sama Kerajaan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat dengan meneroka bidang berasaskan bekalan makanan menerusi permintaan bekalan ayam melalui penglibatan koperasi sebagai pembekal jagung bijian.
“Pengurangan kebergantungan kepada import jagung bijian ini dilihat dapat membantu pembekal dan juga pihak Kerajaan mengurangkan harga dedak ayam sekali gus menjadi penyelesaian kepada kenaikan harga ayam pada masa kini,” katanya.
MAPA 2022 yang dipengerusikan oleh Pengerusi Mesyuarat Agung Perwakilan ANGKASA (MAPA), Haji Mohamad Noor Mohamad dan dibantu oleh Timbalan Pengerusinya, Datuk Haji Haron Haji Abdullah seterusnya dimulakan dengan Mengesahkan Minit MAPA Ke-35 pada 13 November 2021.
Sebanyak 12 agenda MAPA 2022 dibentangkan pada mesyuarat kali ini termasuk menimbang Laporan Lembaga ANGKASA dan Laporan Jawatankuasa Audit Dalaman Dari 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2021; menimbang dan meluluskan Penyata Kewangan ANGKASA, Penyata Kewangan Subsidiari dan Penyata Kewangan Yayasan ANGKASA bagi Tahun Berkhir 31 Disember 2021 Beserta Laporan Juruaudit Luar.
Mesyuarat turut menimbang dan meluluskan Anggaran Belanjawan ANGKASA, Anggaran Modal Aset dan Anggaran Elaun Anggota Lembaga dan JAD ANGKASA Bagi Tahun Kewangan Berakhir 31 Disember 2024; menimbang dan meluluskan Anggaran Cadangan Elaun Kepada Anggota Lembaga yang Dilantik Sebagai Pengarah Subsidiari dan Yayasan ANGKASA 2024; menimbang dan meluluskan Rancangan Perniagaan ANGKASA serta mendengar dan memutuskan usul daripada Lembaga ANGKASA dan usul negeri yang diterima serta menimbang dan meluluskan Cadangan Pindaan Undang-Undang Kecil (UUK) ANGKASA.
Mesyuarat pada tahun ini berjalan dengan lancar dengan penyertaan seramai 29 Jurucakap Negeri mengambil bahagian membentangkan usul negeri masing-masing mengikut tertib dan etika yang ditetapkan.
MAPA 2022 turut menyaksikan pengundian secara digital bagi melantik seorang Presiden, seorang Anggota Lembaga; memilih enam orang daripada Perwakilan Negeri dan empat orang daripada Lembaga ANGKASA sebagai Jawatankuasa Menentusahkan Draf Minit Mesyuarat Agung Perwakilan dan mengesahkan Pelantikan Lembaga mewakili Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Wakil Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).
Proses pengundian berjalan dengan lancar bermula kira-kira pada jam 11.48 pagi. Audit Luar Firma Salihin diberi tanggungjawab dalam proses pengundian dan dibantu barisan Jawatankuasa Audit Dalaman (JAD) ANGKASA bagi memastikan ketelusan keputusan pengundian sepanjang MAPA 2022 berlangsung.
Turut hadir dalam mesyuarat ini ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik; Anggota Lembaga ANGKASA terdiri daripada Datuk Haji Mohamad Ali Hasan; Dato’ Haji Kamarudin Ismail; Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa; Dr. Hajah Salmah Ishak [Wakil Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP)] dan Puan Suzana Alias [Wakil Kementerian Kewangan (MoF)]; barisan Jawatankuasa Tadbir Kebangsaan (JTK); barisan Anggota JAD ANGKASA yang diketuai Pengerusinya, Haji Zaharuddin Alias; barisan Jurucakap Negeri; barisan Penasihat Korporat ANGKASA dan barisan pengurusan tertinggi ANGKASA diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh.
Keputusan Pemilihan Enam (6) Perwakilan Negeri Sebagai Jawatankuasa Menentusahkan Draf Minit MAPA:
ENAM (6) PERWAKILAN NEGERI:
- Puan Norizah Haji Abdullah
- Haji Asruddin Haji Abas
- Prof. Dr. Razali Hassan
- Encik Abdul Kadir Jailani Ismail
- Haji Alimen Ahmad
- Encik Ahmad Masri Abdul Rasid