MANFAATKAN KOPERASI SEBAGAI PLATFORM PERNIAGAAN
Masyarakat digalakkan supaya menjadikan koperasi sebagai platform untuk berniaga atau memulakan perniagaan kerana melaluinya, banyak sumbangan modal dan perkongsian kepakaran dapat dibentuk serta dikembangkan bagi memantapkan perniagaan sekali gus mampu bersaing dalam pasaran sedia ada.
Demikian antara intipati ucapan Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik yang mewakili Presiden ANGKASA pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Persatuan Bekas Anggota TELEKOM Malaysia Selangor Berhad (KOEXTEL) ke-10 pada hari ini (21 Februari 2023) di Kuala Lumpur.
Menurut beliau, statistik interim SKM sehingga Jun 2022 menunjukkan bilangan koperasi di seluruh negara adalah sebanyak 14,975 buah dengan keanggotaan melebihi tujuh juta orang manakala modal syer pula berjumlah RM16,520.49 juta dan aset sebanyak RM156,181.16 juta yang menjana perolehan sehingga RM22,363.36 juta.
“Ini secara tidak langsung menunjukkan masyarakat masih menaruh keyakinan terhadap koperasi dalam membantu meningkatkan taraf hidup selain menyediakan peluang perniagaan yang mampu membawa perubahan kepada landskap ekonomi.
ANGKASA komited membantu koperasi sama ada dari segi khidmat nasihat, merangka pelan perniagaan dan aktiviti perkhidmatan yang dapat memberikan pulangan sosioekonomi bermanfaat untuk anggota khasnya dan koperasi amnya.
Jalinan kerjasama strategik dengan koperasi lain juga dapat membantu meluaskan rantaian perniagaan pada skala lebih besar dan untuk jangka masa panjang. Ini satu usaha bagi menjamin keuntungan seterusnya memberikan pulangan dividen yang tinggi kepada anggota”, jelas beliau.
Antara perniagaan popular diceburi oleh koperasi antaranya adalah perkhidmatan kredit-pinjaman, pembiayaan berlandaskan Syariah seperti pinjaman peribadi, perbankan, pengguna (kantin), pelancongan, pertanian dan peruncitan.
KOEXTEL berfokus kepada perkhidmatan sebagai aktiviti koperasi. Antaranya termasuklah menguruskan pakej umrah dengan kerjasama agensi bertauliah, pengurusan pakej pelancongan dalam dan luar negara termasuk menyediakan khidmat bas persiaran dan pelancongan, membekal cenderahati, pakaian sukan, baju korporat, penjualan buku nota petugas musim Haji, membekalkan mesin layan diri (VM) di premis Telekom, pembekalan produk makanan sejuk beku, program Outreach untuk pelajar sekolah rendah, menengah dan universiti dengan kerjasama Muzium Telekom dan Menara KL.
Kepelbagaian aktiviti perniagaan ini secara tidak langsung dapat membantu koperasi menjana lebih pendapatan, malah koperasi digalakkan menjalankan aktiviti/perniagaan yang di luar kebiasaan.
Koperasi digalakkan menceburi bidang-bidang baharu seperti penjagaan diri dan kesihatan yang merupakan industri penting ketika ini terutama dalam suasana masyarakat memerlukan sistem sokongan kesihatan terbaik sama ada disediakan oleh kerajaan mahupun swasta.
Selain itu, dalam menangani situasi harga barangan naik, koperasi juga amat digalakkan untuk menceburi perniagaan peruncitan. Perniagaan runcit adalah satu-satunya sektor perniagaan paling mudah diceburi di Malaysia dan merupakan antara industri penting dan memberi sumbangan besar terhadap ekonomi negara.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengerusinya, Haji Abdul Latif Othman, Presiden Persatuan Bekas Anggota TELEKOM Malaysia Berhad, Dato’ Mohd Nadzir dan barisan Anggota Lembaga KOEXTEL.