MARA prihatin nasib pelajar depani kos sara hidup – Mahdzir
BANGI, 10 Sept – Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kerajaan amat prihatin atas nasib para pelajar mendepani isu kos sara hidup dan inflasi.
Beliau menegaskan bahawa agenda pemantapan Kualiti Pendidikan Negara berperanan amat besar dalam mencorakkan daya pemikiran dan peribadi generasi masa hadapan.
Sehubungan dengan itu, Majlis Amanah Rakyat (MARA) di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sedaya upaya memainkan peranan penting dalam menggerakkan nadi pemerkasaan modal insan bumiputera terutama dalam aspek pendidikan melalui sokongan penuh oleh kerajaan.
“Kerajaan sentiasa memberikan sokongan penuh dan memikul amanah kepada rakyat melalui MARA untuk memastikan anak-anak bumiputera terus melakarkan kecemerlangan melalui ekosistem pendidikan MARA yang komprehensif dan holistik”, katanya.
Menurut beliau, KPLB sentiasa peka dan mendengar segala luahan para pelajar tajaan MARA khususnya dalam dan luar negara mengenai kekangan kewangan dan peningkatan kos sara hidup yang berlaku secara global.
“Permasalahan dan beban yang dihadapi oleh pelajar amat dirasai oleh kerajaan. Oleh yang demikian, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) melalui MARA menyahut seruan keluarga Malaysia bagi menambahbaik kemudahan penajaan pendidikan buat para pelajar.
KPLB peka dan mengambil tanggungjawab penuh dengan menjalankan kajian untuk memperinci dan memberi solusi terbaik kepada pelajar untuk mengurangkan bebanan hidup supaya tidak menjejaskan prestasi pembelajaran mereka terutamanya mereka yang menjalani pengajian di luar negara” ujar beliau.
Ternyata keluh kesah ini berakhir dengan sinar gembira apabila kerajaan mengumumkan kenaikan kadar elaun sara hidup (ESH) mereka mulai bulan ini. Sehubungan itu, sebanyak 62,998 pelajar tajaan MARA dalam dan luar negara menikmati manfaat melalui inisiatif ini. Ia merupakan satu usaha berterusan kerajaan dan MARA dalam meringankan beban pelajar Keluarga Malaysia.
Sejak penubuhan MARA, seramai 1.35 juta pelajar bumiputera menerima manfaat daripada tajaan bagi mengikuti pengajian dalam dan luar negara sejak tahun 1966. -UTVMediaMsia