MBPJ TERIMA DUA ANUGERAH UTAMA SEMPENA SAMBUTAN HARIPERANCANG BANDAR SEDUNIA (HPBS) 2023.
Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah menerima dua anugerah utama
iaitu Penghargaan Bandar Mampan 2023 dan Anugerah Penarafan Bandar Pintar 2023 – Smart City Early Adopter 2023 dalam anugerah Malaysia Urban Planning Awards (MUPA) sempena Sambutan Hari
Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) 2023 Peringkat Kebangsaan yang disempurnakan oleh YBhg. Datuk Wira M Noor Azman bin Taib, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) di
Dewan Seri Siantan, Kompleks Persidangan Perbadanan Putrajaya.
Bertemakan ‘Malaysia Madani Komuniti Sejahtera’ ianya selaras dengan
agenda kerajaan dalam membangun Malaysia MADANI serta fokus Kementerian mengenai pemerkasaan penglibatan komuniti melalui tadbir urus bandar untuk pembangunan dan kehidupan yang sejahtera.
Penganugerahan ini telah diterima oleh Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya,
YBrs. Tuan Aznan Bin Haji Hassan diiringi oleh Pengarah, Timbalan Pengarah dan Pegawai-Pegawai Jabatan Perancangan Bandar selaku urusetia program MURNInets dan Smart City. Anugerah ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan kepada
seluruh Warga Kerja MBPJ terutamanya pengurusan tertinggi, ahli Majlis kerana sentiasa membantu dalam penyediaan dasar, polisi dan halatuju di dalam aspek kemampanan bandar dan Bandar Pintar.
Permarkahan Bandar Mampan ini dibuat melalui Pengukuran Bandar
Mampan MURNInets yang dinilai berdasarkan 6 dimensi utama iaitu Ekonomi
Berdaya Saing, Kualiti Alam Sekitar, Komuniti Sejahtera, Guna Tanah dan Sumber Asli Optimum, Infrastruktur dan Pengangkutan Efisien dan Urustadbir Efektif.
Bagi Anugerah Penarafan Bandar Pintar – Smart City Early Adopter pula
ianya dinilai berdasarkan keputusan penilaian panel penilai Jawatankuasa
Penarafan Bandar Pintar yang telah mengangkat dan memperakukan MBPJ
sebagai sebuah Bandar Pintar berdasarkan 10 indikator iaitu City Services
Requested Online, Construction Permits Through e-Submission, E-Payment
to the City, Online Booking for Public Recreation and Sports Facilities, Digital
Survillience Camera, Smart Street Light with Performance System, Refurbished / Newly Installed Street Lighting, parking space with e-Payment Systems, Intelligent / Smart Traffic Lights dan Fast Broadband.
Majlis Bandaraya Petaling Jaya akan terus beriltizam dalam menawarkan dan
memberikan perkhidmatan perbandaran yang cekap, efisyen dan berkesan
selaras dengan ekspektasi tinggi daripada pemegang taruh dan penduduk
Petaling Jaya.
MBPJ juga komited merancang dan melaksanakan inisiatif-inisiatif yang dapat
menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara serta memberi manfaat
kepada rakyat di Petaling Jaya dalam menikmati kehidupan yang berkualiti
dan sejahtera.