MCMC MENYOKONG PELAKSANAAN INISIATIF MELAKA E-TUNAI DI BAZAR RAMADAN DAN BAZAR AIDILFITRI NEGERI MELAKA 2023

  • March 23, 2023
  • 2 min read
MCMC MENYOKONG PELAKSANAAN INISIATIF MELAKA E-TUNAI DI BAZAR RAMADAN DAN BAZAR AIDILFITRI NEGERI MELAKA 2023


Seiring dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang berpacukan pendigitalan
dan sebagai peneraju serantau dalam ekonomi digital, Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus menyokong segala usaha untuk meningkatkan
penerimagunaan teknologi digital yang meluas dalam kalangan rakyat. Bagi mencapai hasrat
tersebut, MCMC telah bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Melaka dalam meluaskan
kesedaran dan meningkatkan penggunaan e-Tunai di negeri Melaka menerusi inisiatif ‘Melaka
e-Tunai’ di Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri.
Inisiatif Melaka e-Tunai Bazar Ramadan Dan Bazar Aidilfitri ini adalah antara kempen promosi
dan kesedaran yang dibangunkan dengan kerjasama Unit Kerajaan Tempatan (UKT) Jabatan
Ketua Menteri Melaka, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup Negeri
Melaka (KPDN Melaka) dan penyedia perkhidmatan kewangan (FSPs) dan platform digital bagi
memacu peralihan kepada pembayaran tanpa tunai di kalangan masyarakat.
Pada masa yang sama, MCMC kini sedang bekerjasama dengan rakan strategik seperti
Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) dan FSPs termasuk TNG Digital Sdn Bhd, Axiata
Digital Ecode Sdn Bhd (Boost), Maybank dan Delivery Hero Malaysia Sdn Bhd (Foodpanda),
bagi menawarkan produk-produk dan perkhidmatan-perkhidmatan digital mereka di Melaka.
Menerusi kempen ini, peniaga tempatan digalakkan untuk mendaftarkan perniagaan mereka
dengan FSPs atau penyedia platform digital bagi memudahkan proses pembayaran secara
tanpa tunai ataupun cashless. Pada masa yang sama, peniaga juga dapat menikmati insentif
serta pelbagai tawaran istimewa yang khas disediakan menerusi inisiatif Melaka e-Tunai.
Selain itu, pelanggan atau pengunjung Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri juga boleh
berbelanja dan menikmati pelbagai tawaran istimewa dan insentif khas termasuk cash back
melalui aplikasi e-dompet TnG, Boost, Maybank dan penghantaran makanan Foodpanda
sepanjang kempen promosi dan kesedaran ini.

Pengunaan perkhidmatan FSPs atau penyedia platform digital ini adalah antara pemangkin
utama dalam memupuk budaya pembayaran tanpa tunai dalam kalangan masyarkat yang
akan memacu transformasi digital serta negara serta membolehkan Malaysia mencapai
pembangunan ekonomi digital yang mampan. Segala usaha dan inisiatif ini dilaksanakan demi
memastikan kesejahteraan rakyat terjamin, sekali gus merealisasikan Dekad Keemasan
Ekonomi Digital.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *