PELAKSANAAN PROJEK RINTIS FLEET CARD SEKTOR PENGANGKUTAN DARAT (BARANGAN) MELALUI SKDS 2.0
BERMULA PADA 1 FEBRUARI 2024 SEPANG.
1 FEBRUARI 2024 – Satu tinjauan pelaksanaan hari pertama Projek Rintis Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0) bagi Sektor Pengangkutan Darat (Barangan).
Kerajaan telah merancang untuk melaksanakan penyasaran semula subsidi
diesel pada suku kedua tahun 2024 yang bermaksud subsidi diesel tidak akan
diberikan secara pukal di stesen-stesen minyak. Melalui inisiatif penyasaran
semula subsidi diesel ini, Kerajaan pada dasarnya mempertimbangkan
pemberian subsidi dengan kadar khas kepada Sektor Pengangkutan Darat bagi
sub-sektor Awam dan sub-sektor Barangan melalui pelaksanaan SKDS 2.0.
Sehubungan itu, sebelum pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel ini
yang tarikhnya akan ditentukan kelak, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri
dan Kos Sara Hidup (KPDN) merintis usaha untuk menguji Sistem MySubsidi
Diesel. Sistem MySubsidi Diesel akan diguna pakai bersama Sistem Fleet Card
syarikat-syarikat minyak dalam pelaksanaan penyasaran subsidi kelak. Sejumlah
enam syarikat perintis telah menerima Fleet Card melalui pilihan syarikat minyak
masing-masing.
Senarai syarikat perintis adalah seperti berikut:
i. Sim Yew Enterprise Sdn. Bhd.
ii. Rantau Panjang Haulage Sdn. Bhd.
iii. Mun Chuen Transport Sdn. Bhd.
iv. Tan Swee Hee Sdn. Bhd.
v. Multimodal Freight Sdn. Bhd.
vi. Perceptive Logistics Sdn. Bhd.
Secara keseluruhan, sebanyak 3,792 stesen minyak terlibat dalam Projek Rintis
SKDS 2.0 yang boleh digunakan oleh syarikat perintis bergantung kepada laluan
kenderaan syarikat masing-masing di seluruh Semenanjung Malaysia.
Usaha rintis ini dijangka dapat memberi maklum balas dan analisis yang tepat
kepada Kementerian dalam memperkemas mekanisme bagi penyasaran semula
subsidi diesel. Selain itu, langkah awal ini juga dapat menguji keberkesanan
Sistem MySubsidi Diesel dan juga sistem Fleet Card syarikat-syarikat minyak
sebelum dilaksanakan kepada keseluruhan industri.
Mekanisme penggunaan Fleet Card ini adalah antara usaha Kerajaan untuk
beralih daripada Sistem Analog Skid Tank kepada Fleet Card dalam memastikan
subsidi secara bersasar dapat dilaksana secara bersepadu selain dapat
memastikan kes ketirisan dan penyeludupan pada tahap yang paling minimum.
Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan keperluan sebenar Sektor
Pengangkutan Darat (Barangan) bagi membantu mengurangkan kesan kos
pengangkutan agar tiada kenaikan kos berganda khususnya kepada harga
barangan selain merangka pelan penyasaran semula subsidi yang cekap dan
berkesan kepada semua golongan sasar khususnya di bawah bidang kuasa
KPDN.