Pelan Digitalisasi dalam pembudayaan dan mengerakkan koperasi ke arah penggunaan teknologi digital dalam pengurusan, pentadbiran dan perniagaan.
Koperasi perlu mengambil pendekatan mentranformasi operasi kepada teknologi atau inovasi baru bagi menjamin kelestarian perniagaan.
Ilmu pengetahuan dan adaptasi digital adalah suatu keperluan bagi koperasi untuk sama-sama memastikan perniagaan dapat kekal berdaya saing dan maju.
Justeru, Pelan Digitalisasi sangat penting dalam pembudayaan dan mengerakkan koperasi ke arah penggunaan teknologi digital dalam pengurusan, pentadbiran dan perniagaan pada hari ini.
Demikian menurut Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Cooperative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, ketika berucap merasmikan Program Sesi Libat Urus Bersama Koperasi Sederhana Dan Kecil Pelan Digitalisasi Koperasi di Hotel Tabung Haji, Kelana Jaya, pada hari ini (18 Mei 2022).
Katanya, Revolusi Perindustrian Keempat atau IR 4.0 perlu diadaptasikan dalam perniagaan dan tadbir urus digital koperasi bagi merebut peluang dalam ekonomi digital yang sedang berkembang pesat merentasi sempadan
“Justeru, warga koperasi perlu mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan kecekapan sekali gus meningkatkan kemahiran berfikir bagi menghadapi Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) yang menjadi antara cabaran terkini bagi gerakan koperasi di Malaysia.
Pendekatan IR 4.0 juga memberikan kuasa kepada pemilik perniagaan untuk mengendali dan memahami dengan lebih baik setiap aspek operasi dan aktiviti yang dijalankan”, ujar beliau.
ANGKASA telah diberi tanggungjawab dan kepercayaan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk mengetuai pembangunan Pelan Digitalisasi Koperasi.
Rangka Pelan Digitalisasi koperasi kini sedang dibangunkan menerusi ANGKASA – UMK Research Academy (AURA) bagi mendigitalisasikan gerakan koperasi di negara ini.
Sesi libat urus itu mendapat maklum balas yang baik dalam usaha membina pelan digital yang terbaik dan praktikal dalam mendigitalkan pentadbiran, pengurusan, operasi dan perniagaan koperasi di negara ini.
Dokumen lengkap pelan itu akan diangkat kepada pihak Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk kelulusan tidak lama lagi.
Program hari ini merupakan peringkat ketiga yang dilakukan ANGKASA dalam melengkapkan pelan. Pada peringkat pertama, Bengkel Pembangunan Pelan Digitalisasi Koperasi telah dilaksanakan di Kuala Lumpur melibatkan wakil KUSKOP, SKM, IKMa, UMK dan ANGKASA.
Seterusnya pada 17 Mei 2022, telah diadakan Sesi Libat Urus Bersama 100 Koperasi Terbaik Malaysia bagi mendapatkan input-input, pandangan dan maklum balas daripada koperasi besar mengenai rangka pelan ini.
Dekan Graduate School of Entrepreneurship and Business, Universiti Malaysia Kelantan, Profesor Dr. Roselina Ahmad Saufi juga membuat pembentangan draf Pelan Digitalisasi Koperasi.
Hadir sama ialah Anggota Lembaga ANGKASA, Dr. Mohd. Azlan Yahya; Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Haji Abdul Razak Hussain dan Pengarah ANGKASA – UMK Research Academy (AURA), Dr. Noor Rihani Zainol.