Pelancaran laman web rasmi Malaysia-Sulucase.gov.my
Kerajaan Madani, menerusi Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana
Menteri (BHEUU, JPM), Kementerian Luar Negeri, dan Kementerian Komunikasi dan Digital, pada jam 1.40 petang hari ini telah melancarkan laman sesawang Malaysia-SuluCase.gov.my, sebuah repositori maya bagi semua maklumat berkaitan kes tuntutan pihak yang mengaku sebagai waris Sultan Jamalul Kiram II (Sultan Sulu) terhadap Malaysia.
Laman sesawang Malaysia-SuluCase.gov.my adalah satu langkah Kerajaan untuk
memberikan naratif sejarah dan kronologi kes perundangan di pelbagai bidang kuasa yang
betul dan sahih.
Terdapat pelbagai kemusykilan pada “fakta-fakta” kes yang dikemukakan oleh pihak yang mendakwa diri mereka sebagai waris Sultan Sulu. Antaranya, sehingga kini, tidak ada apa-apa bukti yang menunjukkan bahawa penuntut-penuntut ini benar-benar waris kepada Sultan Sulu.
Ini berbeza dengan kes Kerajaan Malaysia, yang mana adanya laporan Suruhanjaya Cobbold 1963 di mana Sabah telah membuat pilihan untuk bersama-sama dengan Semenanjung dan Sarawak bagi membentuk Negara Malaysia.
Memandangkan Malaysia kini sedang berhadapan dengan prosiding di beberapa
buah negara Eropah (Sepanyol, Perancis, Luxembourg, dan Belanda), adalah penting bagi memastikan penyebaran maklumat kes ini adalah tepat sekaligus menafikan penyebaran
berita yang tidak benar dan palsu.
Laman sesawang Malaysia-SuluCase.gov.my akan dikemaskini selari dengan perkembangan semasa kes yang sedang berlangsung, serta boleh diakses dalam lima bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Perancis, Sepanyol, dan Tagalog. Ini bagi membolehkan pelbagai pihak serta media antarabangsa mengikuti dan memahami kes ini melalui fakta dan informasi sebenar yang dikemukakan oleh Kerajaan Malaysia.
Kerajaan berharap rakyat Malaysia akan mengakses serta mengikuti kes ini dengan
teliti melalui laman sesawang yang dibangunkan ini kerana sebarang keputusan yang memihak kepada pihak penuntut akan mempunyai kesan besar dan serius kepada
kedaulatan dan keselamatan negara.
Kerajaan Malaysia akan terus memelihara
kepentingan, kekebalan kedaulatan, dan kedaulatan Malaysia pada setiap masa dan
mengambil segala tindakan yang perlu bagi menghentikan tuntutan ini.