Penambahbaikan pasaran buruh suku ketiga 2021 dengan jangkaan pemulihan berterusan pada suku keempat 2021

  • November 6, 2021
  • 2 min read
Penambahbaikan pasaran buruh suku ketiga 2021 dengan jangkaan pemulihan berterusan pada suku keempat 2021

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mendapati pemulihan berterusan pasaran buruh sepanjang suku ketiga 2021. Langkah Kerajaan melonggar sekatan pergerakan dan memberi kebenaran kepada pembukaan semula sektor ekonomi telah menyumbang kepada pemulihan ini.

Kadar pengangguran menunjukkan tren menurun secara berterusan daripada 4.84% pada Julai kepada 4.64% pada Ogos dan dijangka mencapai 4.54% pada September 2021. Kadar kehilangan pekerjaan (LOE) juga stabil pada 15,753 orang pada suku ketiga 2021.

Ini adalah antara hasil laporan suku tahunan “Quarterly Labour Market Perspectives – A Sign of Labour Market Rebound ” yang diterbitkan oleh Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan EIS-UPMCS (EU-ERA). Menurut laporan tersebut juga, pada suku ketiga 2021, pasaran kerja didapati masih kekal bercirikan “trapezoid” yang mencerminkan ketidakseimbangan di antara pencari kerja dan peluang pekerjaan.

Namun, pemulihan pasaran buruh pada suku ketiga 2021 dijangkaakan mengurangkan jurang ketidakseimbangan tersebut.Laporan juga menjangkakan pemulihan ekonomi yang berterusan pada suku keempat 2021 akan mengukuhkan lagi kedudukan pasaran buruh. Kadar pengangguran diramalkan akan terus berkurangan daripada purata 4.67% pada suku ketiga kepada 4.31%pada suku keempat 2021. Kadar kehilangan pekerjaan (LOE) juga diramalkan berkurangan daripada 15,753 pada suku ketiga kepada 12,105 pada suku keempat 2021.

PERKESO turut mendapati kedudukan pasaran buruh sehingga akhir tahun 2021 masih memerlukan sokongan dan intervensi berterusan agar kadar pengangguran dan 1kehilangan pekerjaan dapat dikurangkan. Inisiatif dan insentif ke atas penciptaan dan pengekalan pekerjaan yang diumumkan oleh Kerajaan semasa pembentangan Bajet 2022 adalah bertepatan dan selari dengan pemulihan yang diperlukan oleh pasaran buruh. PERKESO melalui EU-ERA menganggar kadar pengangguran 2022 akan berada pada sekitar paras antara 4.0 sehingga 4.1 jika Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berkembang pada kadar antara 5.5% sehingga 6.5%.

Perincian prestasi pasaran buruh suku ketiga 2021 boleh diperolehi daripada laporan “Quarterly Labour Market Perspectives – A Sign of Labour Market Rebound”, yang boleh diakses di https://eiscentre.perkeso.gov.my. PERKESO, menerusi Pejabat Insurans Pekerjaan (SIP) akan terus memainkan peranan penting sebagai pelengkap kepada maklumat pasaran buruh di Malaysia. EU-ERA adalah pusat penyelidikan kolaboratif antara Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan PERKESO, Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Universiti Putra Malaysia Consultancy & Services (UPMCS).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *