PENGLIBATAN KOPERASI DALAM INDUSTRI KOKO
ANGKASA-LKM JALIN KERJASAMA BANTU PERKASA
ANGKASA menjalinkan kerjasama dengan Lembaga Koko Malaysia (LKM) melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) untuk memperkasakan lagi penglibatan koperasi berasaskan koko dalam industri tanaman komoditi itu sekali gus memberi impak positif terhadap pembangunan perniagaan mereka.
Pemeteraian MoU tersebut disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof dalam Majlis Apresiasi LKM 2023 di Kota Kinabalu, Sabah hari ini (15 Mei 2023).
Turut hadir bersama ialah Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Siti Aminah Aching.
Memorandum itu telah ditandatangani oleh Timbalan Presiden ANGKASA, Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik yang mewakili ANGKASA manakala LKM diwakili oleh Ketua Pengarahnya, Dr. Ramle Haji Kasin.
YAB Dato’ Sri Haji Fadillah dalam ucapan beliau berkata, industri koko negara mempunyai potensi yang besar untuk berkembang lebih pesat melihat kepada unjuran nilai eksport biji koko dan produk hiliran berasaskan koko yang dicatat pada tahun 2022.
Berdasarkan laporan oleh LKM, nilai eksport itu dijangka meningkat ke RM7.81 bilion pada tahun 2022 berbanding RM6.87 bilion pada 2021.
Tambah beliau, industri koko berada di landasan yang kukuh apabila Malaysia muncul sebagai negara pengisar biji koko terbesar di Asia dan keenam terbesar dunia.
Katanya juga, LKM dan pemegang taruhnya termasuk koperasi perlu menitikberatkan terhadap bentuk bantuan seperti insentif yang diberikan kepada pengusaha koko khususnya pekebun kecil supaya dapat mengatasi masalah kekurangan pengeluaran biji koko yang mampu menjejas pembangunan industri tersebut.
Kerjasama antara ANGKASA dengan LKM yang turut melibatkan sebanyak tujuh koperasi anggota ANGKASA itu meliputi program pemerkasaan, latihan dan pembangunan fasiliti dalam usaha merancakkan lagi penglibatan mereka di peringkat huluan, pertengahan dan hiliran.
Tujuh koperasi tersebut adalah Koperasi Kluster Koko Sabah Berhad, Koperasi Kluster Koko Sarawak Berhad, Koperasi Kluster Koko Semenanjung Berhad, Koperasi Warisan Telisai Berhad, Koperasi Bakti Ranau Berhad, Koperasi UMS Berhad dan Koperasi Agro Ternak Perak Berhad.
MoU itu juga merupakan kesinambungan daripada kerjasama antara ANGKASA dengan LKM untuk membantu pekebun kecil di bawah organisasi itu melalui Koperasi Kluster Koko di Sabah dan Sarawak dengan membina sebanyak tiga buah rumah pengeringan biji koko.
Rumah pengeringan yang menggunakan teknologi tenaga solar dan siap dibina pada tahun 2022 tersebut terletak di Sarikei, Sarawak serta Ranau dan Tambunan, Sabah.
Sementara itu, Dato’ Dr. Haji. Abdul Rahman berkata, kerjasama itu sudah menunjukkan impak yang baik apabila Koperasi Walisan Telisai Berhad menawarkan ladang mereka berkeluasan 30 ekar di Lahad Datu untuk penanaman koko.
Tambah beliau, hasrat ANGKASA adalah supaya koperasi koko di Malaysia mampu menghasilkan produk minuman koko yang berkhasiat untuk diedarkan ke semua koperasi sekolah.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pengelola LKM, YB Datuk Matbali Musah, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik & Pengurusan) Kementerian Perladangan dan Komoditi, Encik Abdul Hadi Omar, Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri Koko dan Lada Kementerian Perladangan dan Komoditi, Encik Cheah Cee Fong, Pengerusi ANGKASA Negeri Sabah, Dr. Zhamriee Gulamrasul dan Pengerusi ANGKASA Negeri Sarawak, Encik Wan Azizan Wan Zainal Abidin.