PERKESO dan UUM jalin kerjasama strategik tambah baik jaringan keselamatan sosial
KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Universiti
Utara Malaysia (UUM) hari ini telah menandatangani satu Memorandum
Persefahaman (MoU) dan membuat pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) bagi
berkongsi kepakaran masing-masing untuk memperkasa dan memperluas perkhidmatan
perlindungan keselamatan sosial kepada Keluarga Malaysia.
MoU telah ditandatangani oleh PERKESO yang diwakili oleh Ketua Eksekutif, YBhg.
Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman bin Dato’ Aziz Mohammed dan UUM oleh Naib
Canselor, YBrs. Prof. Dr. Haim Hilman bin Abdullah. Ia disaksikan oleh YBrs. En.
Azirruan bin Arifin, Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan, PERKESO dan YBrs.
Prof. Madya Dr. Md Zawawi bin Abu Bakar, Dekan Pusat Pengajian Psikologi
Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial UUM.
Kolaborasi yang dimeterai ini akan menjadi simbolik kepada hubungan kerjasama yang
lebih erat dan holistik antara kedua-dua organisasi menerusi pelbagai bidang. Menerusi
MoA yang telah ditandatangani pada 5 Ogos lalu, ia menggariskan kerjasama dalam
aspek pembinaan kapasiti, pembangunan dan penyelidikan serta pemerkasaan
promosi keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Bagi tujuan itu, sebanyak RM2.5 juta
telah diperuntukkan PERKESO kepada UUM bagi melaksanakan inisiatif tersebut secara
bersama untuk tempoh lima tahun.
Menerusi jalinan kerjasama ini juga, sebuah Pusat Kecemerlangan Pengurusan
Keselamatan Sosial (Social Security Management Centre of Excellence – SOSCOE)
telah dibangunkan buat julung kalinya yang akan menawarkan pengajian dalam Program
Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia (Minor Pengurusan
Keselamatan Sosial) (Kepujian).
Sesi pengajian bagi program tersebut dijangka bermula pada bulan November 2022.
Untuk permulaan, seramai 20 anggota PERKESO akan dipilih untuk memulakan sesi
pengajian di SOSCOE yang terletak di Pusat Rehabilitasi PERKESO di Melaka.
Sementara itu, MoU yang ditandatangani antara PERKESO dan UUM hari ini pula akan
membuka laluan bagi pelaksanaan kepada pelbagai aktiviti untuk meningkatkan
kecekapan pengurusan hilang upaya khususnya kepada golongan majikan dan
pengamal pengurusan hilang upaya di Malaysia. Ia akan dilaksanakan menerusi
perluasan kerjasama dalam cabang-cabang ilmu keselamatan sosial termasuk
pengajaran dan pembelajaran berkaitan modul pengurusan hilang upaya, pembangunan
modul dan latihan, serta pengurusan psikososial termasuk intervensi kerja sosial dan
kaunseling.
Selain itu, MoU ini turut menggariskan kolaborasi dalam program pasaran buruh aktif,
pelaksanaan simposium, persidangan dan kursus pendek, penyelidikan, perundingan
dan latihan industri bagi anggota akademik serta pelajar UUM.
PERKESO menyeru orang awam terutama pengamal pengurusan hilang upaya agar
mengambil peluang yang disediakan menerusi kerjasama PERKESO dan UUM ini untuk
menambah ilmu dan meningkatkan kompetensi mereka dalam bidang pengurusan hilang
upaya dan keselamatan sosial, seterusnya menyumbang kepada pembangunan
keselamatan sosial negara, khususnya dan kesejahteraan Keluarga Malaysia, amnya.