Perkukuh ekosistem keselamatan siber bagi menangani serangan siber – KKMM

  • June 28, 2021
  • 2 min read
Perkukuh ekosistem keselamatan siber bagi menangani serangan siber – KKMM

PUTRAJAYA, 28 JUN 2021 – Di era teknologi digital hari ini, keselamatan siber menjadi lebih berisiko dan rumit kerana semakin berkembang teknologi maka semakin kompleks dan sofistikated ancaman serta serangan siber yang berlaku.

Penjenayah siber juga lebih aktif, berani dan semakin canggih malah mereka menggunakan kaedah baharu, teknik serta taktik yang lebih berkesan untuk melancarkan sesuatu ancaman dan serangan siber sehingga ianya berupaya memberi impak negatif terhadap pembangunan negara serta menggugat kesejahteraan dan keharmonian rakyat.


Oleh yang demikian, semua pihak harus bekerjasama bagi mengukuhkan ekosistem keselamatan siber negara seperti memperkemaskan tadbir urus berlandaskan piawaian serta amalan terbaik keselamatan siber, meningkatkan kemahiran dan kepakaran, berkongsi maklumat bagi merangka strategi dan prosedur keselamatan siber yang lebih efektif.

Dalam hal ini, KKMM bersama-sama CyberSecurity Malaysia sentiasa bertindak secara proaktif dan komited bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan ruang siber negara.

Dengan memiliki kemampuan serta keupayaan daripada segi kepakaran tenaga kerja dan disokong oleh kelengkapan prasarana makmal, CyberSecurity Malaysia akan terus menawarkan perkhidmatan, menyediakan sokongan dan bantuan teknikal serta program latihan profesional kepada semua pihak bagi meningkatkan ekosistem keselamatan siber negara.


Sementara itu, melalui program SiberKASA, sebanyak 35 produk dan perkhidmatan keselamatan siber yang dihasilkan oleh CyberSecurity Malaysia meliputi Perkhidmatan Responsif Keselamatan Siber; Perkhidmatan Proaktif Keselamatan Siber; Jangkauan dan Pembangunan Kapasiti; Kajian Strategik dan Penglibatan, dan Pembangunan Industri dan Penyelidikan telah diklasifikasikan di bawah tiga komponen iaitu manusia, proses dan teknologi sebagai pendekatan holistik bagi tujuan membangun, memperkasa, melestari dan mengukuhkan prasarana serta ekosistem keselamatan siber di Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *