Pertandingan pembangunan aplikasi tanpa-kod yang pertama dan terbesar di Malaysia, eMOBIQ® Challenge 2023.
KUALA LUMPUR – Majlis pelancaran rasmi eMOBIQ® menyaksikan Menteri Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi, YB Datuk Ewon Benedick memuji Pasukan Universiti Putra Malaysia kerana memenangi pertandingan pembangunan aplikasi tanpa-kod yang pertama dan terbesar di Malaysia, eMOBIQ® Challenge 2023. Pasukan yang terdiri dari 10 orang individu berjaya melaksanakan solusi yang berkesan kepada masalah seharian dan menyediakan bantuan kepada komuniti melalui aplikasi mudah alih mereka yang dikenali sebagai “FinCare”. Pertandingan tersebut menggambarkan kemudahan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memanfaatkan platform Pembangunan Aplikasi Mudah Alih Pantas Tanpa-kod (RMAD) untuk berhijrah secara digital demi menguatkan ekosistem keusahawanan Malaysia dan mencapai matlamat transformasinya.
Kajian terkini dari Bank Dunia menunjukkan bahawa lebih daripada 80 peratus firma sederhana dan besar melabur dalam penyelesaian digital berbanding dengan 54 peratus firma kecil; menunjukkan kekangan kewangan dan kekurangan kemahiran digital dalam negara sebagai faktor penghalang yang utama. Untuk mengatasi cabaran yang dihadapi oleh PKS, penyedia solusi IT tempatan – Wilstech Sdn. Bhd. secara rasmi melancarkan eMOBIQ® dan eMOBIQ® Challenge 2023 untuk membolehkan rakyat Malaysia mengambil langkah kepada solusi digital inovatif dan berkesan dengan kos yang lebih rendah berbanding dengan kaedah konvensional, serentak memudahkan sesiapa sahaja (dengan atau tanpa pengalaman kod) membina aplikasi mudah alih mereka sendiri.
YB Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Keusahawan dan Koperasi (MCED), berkata, “Terdapat banyak faktor yang memberi kelebihan kepada perniagaan melalui transformasi digital. E-dagang dan ekonomi digital memberi peluang baru untuk para usahawan menceburi pasaran yang lebih besar dan juga pasaran antarabangsa. Malaysia berada di landasan yang tepat didalam memenuhi agenda ekonomi digitalnya, dan kementerian mempelawa inisiatif seperti ini yang memangkin pertumbuhan ekosistem keusahawanan dan matlamat transformasi negara. Dengan penambahbaikkan berterusan dalam integrasi machine learning dan AI, inilah masa yang tepat untuk maju melalui usaha inovatif seperti eMOBIQ.”
Platform RMAD dibina untuk menyediakan pengalaman visual penuh kepada penggunanya, membolehkan mereka menyesuaikan aplikasi dengan kaedah ‘drag-and-drop’, menggunakan pelbagai templat, komponen, fungsi dan penyambung sedia ada. Selain itu, eMOBIQ turmrut menawarkan kebebasan kepada para penggunanya untuk membangunkan aplikasi secara mudah alih, di mana sahaja pada bila-bila masa di atas platform berasaskan ‘cloud’. Setelah rekaan aplikasi tamat, para penggunanya boleh melaksanakan aplikasi atas talian atau luar talian mereka di platform Android atau iOS sekaligus dengan hanya satu klik.
Untuk melaksanakannya, 127 pasukan daripada 24 universiti tempatan diuji dalam eMOBIQ® Challenge 2023 untuk membangunkan aplikasi mudah alih yang paling praktikal, inovatif, dan memberi impak di mana mereka bersaing untuk merebut hadiah berjumlah RM300,000. Peserta diberi masa selama dua bulan untuk menyelesaikan reka bentuk mereka yang kemudian dinilai oleh panel hakim dalaman (70 peratus) berdasarkan kreativiti, praktikaliti, impak ke atas perniagaan, dan pembentangan; serta undian populariti di media sosial (30 peratus).
Sepuluh pasukan teratas dijemput ke acara utama di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, di hadapan YB Datuk Ewon Benedick untuk menentukan pemenang pertandingan yang membawa pulang hadiah wang tunai, peluang magang dan pekerjaan masa depan, dan yang paling penting, aplikasi mereka diterapkan ke dunia sebenar untuk digunakan oleh orang awam. Dengan itu, peserta dapat memperoleh pengetahuan dan pengalaman yang meluas dalam menghasilkan, membangunkan, dan memelihara aplikasi mudah alih yang berjaya dan boleh dibawa dalam kerjaya profesional mereka.