Program pembangunan usahawan coklat buatan tangan perkasa komuniti hasilkan produk berkualiti tinggi dan setanding pasaran dunia

  • May 27, 2022
  • 2 min read
Program pembangunan usahawan coklat buatan tangan perkasa komuniti hasilkan produk berkualiti tinggi dan setanding pasaran dunia

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Willie Anak Mongin pada hari ini telah menyempurnakan Majlis Penutupan Kursus Asas Pembangunan Usahawan Coklat Buatan Tangan di Kompleks SARA Cocoa Cluster, Kota Samarahan, Kuching, Sarawak. Kursus ini telah disertai oleh 20 peserta dari kawasan Puncak Borneo.

Salah satu inisiatif pemerkasaan komuniti yang diketengahkan oleh Lembaga Koko Malaysia (LKM) selaku penganjur kursus dan peneraju utama sektor agrikomoditi koko negara ialah Program Pembangunan Usahawan Coklat Buatan Tangan. Objektif utama program ini adalah untuk membangunkan usahawan coklat tempatan yang mampu menghasilkan produk yang berkualiti dan berdaya saing, setanding dengan jenama dan produk coklat lain di peringkat serantau dan global. Program yang berbentuk kursus latihankemahiran pembuatan coklat turut menyediakan insentif pembelian peralatan dan mesin serta khidmat nasihat pembangunan perniagaan dan pemasaran produk sebagai rangsangan kepada bakal usahawan yang berminat berkecimpung dalam industri ini.

Program ini juga adalah salah satu strategi khas di bawah Projek Pembangunan Usahawan Coklat dan Program Promosi Koko di dalam Rancangan Malaysia Ke-12. Faktor pendidikan dan latihan, sokongan sosial, pemerkasaan peranan keusahawan dan pendedahan mengenai potensi industri hiliran koko yang ditekankan di bawah program ini adalah aspek penting yang akan mempengaruhi tahap kejayaan usahawan berasaskan koko untuk memperoleh pendapatan lumayan. Kompleks Kluster Koko Sarawak yang dijenamakan sebagai Kompleks SARA Cocoa Cluster telah dibina untuk merealisasikan konsep rantaian pemprosesan biji koko sehingga ke peringkat penghasilan produk berasaskan coklat yang dikenali sebagai “farm to table”. Konsep ini merupakan inisiatif yang diperkenalkan menerusi Program Pembangunan Kluster Koko Sarawak.

Kompleks ini berupaya untuk menyediakan kemudahan pemprosesan biji koko kering tempatan bagi negeri Sarawak dengan kapasiti memproses biji koko sebanyak 50 tan setahun. Kompleks ini juga telah dinaik taraf menjadi salah satu pusat tarikan pelancong yang berkonsepkan agrotourism. Ia adalah platform terbaik untuk LKM mempamerkan aktiviti industri huluan dan hiliran bermula dari proses penyemaian anak benih sehingga penghasilan coklat.6. Dukungan dan keprihatinan pihak LKM terhadap kebajikan para usahawan koko di negeri Sarawak terus diperkukuhkan menerusi penubuhan Koperasi Kluster Koko Sarawak Berhad pada 14 November 2019. Keahlian koperasi ini disasarkan kepada para pekebun koko, usahawan dan kakitangan LKM. Kewujudan koperasi ini memberi penekanan kepada peningkatan kesejahteraan dan penjanaan pendapatan ahli koperasi selain memberi peluang kepada para usahawan coklat untuk mendapatkan bahan mentah seperti coklat blok pada harga ahli yang lebih murah daripada harga pasaran. YB Datuk Willie menyeru kepada golongan yang berkaitan untuk berdaftar segera sebagai ahli koperasi bagi menikmati pelbagai manfaat dan faedah yang ditawarkan.

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

27 Mei 2022

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *