Sambutan Jubli emas 50 tahun penubuhan ANGKASA “Menjulang Aspirasi Koperasi”
PETALING JAYA, 12 MEI 2021 – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) pada hari ini mencapai usia jubli emas setelah melalui pelbagai rintangan dan fasa yang membawa kepada kejayaan dalam memperkasa gerakan koperasi negara setelah 50 tahun penubuhannya.
Menyelusuri sejarah, ANGKASA ditubuhkan hasil daripada cadangan Kongres Kerjasama Kedua yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia yang kedua, Yang Amat Berhormat Tun Abdul Razak Hussein.
Ketika penggubalan Dasar Ekonomi Baru, pemimpin negara ketika itu telah membuat keputusan bahawa perlunya sebuah badan yang boleh memimpin serta mewakili gerakan koperasi di seluruh negara.
Pada tarikh keramat 12 Mei 1971, ANGKASA secara rasminya didaftarkan sebagai Angkatan Kerjasama Kebangsaan Malaysia Berhad mengikut fasal 7 di dalam Ordinan Sharikat Bekerjasama-sama tahun 1948.
Bermula dengan keanggotaan ahli sebanyak 719 buah koperasi, ANGKASA kini memayungi 14,668 buah koperasi yang menyumbangkan RM45.8 bilion perolehan pada tahun 2019.
(Perangkaan: Suruhanjaya Koperasi Malaysia) ANGKASA secara rasmi diiktiraf oleh kerajaan sebagai badan puncak mewakili gerakan koperasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa pada 23 Mei 1996. Termaktub dalam warta kerajaan, [KTPK. (S) 07/49/1/9; PN. (PU2) 572/III.]
“Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh Perenggan 57(2)(b) Akta Koperasi 1993, Menteri mengisytiharkan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) sebagai badan yang mewakili pergerakan koperasi Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa”
Bagi menyelesaikan masalah pinjaman tidak berbayar yang dihadapi oleh koperasi, ANGKASA telah mewujudkan Biro Perkhidmatan ANGKASA (BPA) pada tahun 1977 yang mana semua potongan koperasi dan lain-lain organisasi diuruskan melalui satu saluran demi memudahkan urusan potongan gaji anggota diproses oleh jabatan kerajaan atau majikan swasta (yang berdaftar dengan BPA).
Perkhidmatan BPA menggunakan Sistem Potongan Gaji ANGKASA (SPGA) berperanan mengawal peningkatan kadar keberhutangan supaya tidak melebihi had 60 peratus daripada pendapatan bulanan peminjam.
Perkhidmatan Biro Potongan ANGKASA berjaya berkembang daripada mengurus kutipan RM1.5 juta sebulan pada tahun 1977 kepada RM1.2 bilion sebulan pada tahun 2021 menggambarkan keyakinan pihak berkepentingan dan pemegang taruh kepada keupayaan serta kredibiliti ANGKASA memberi perkhidmatan yang terbaik kepada anggota koperasi.