Sentiasa waspada dan bersiap siaga terhadap ancaman serta serangan siber

  • June 2, 2021
  • 2 min read
Sentiasa waspada dan bersiap siaga terhadap ancaman serta serangan siber

PUTRAJAYA, 2 JUN 2021 – Teknologi digital kini telah menjadi sebahagian besar daripada kehidupan kita. Semasa menghadapi cabaran mendepani pandemik COVID-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuatkuasa ini, penggunaan internet juga telah meningkat secara ketara di seluruh negara.

Justeru, kita juga terdedah kepada pelbagai ancaman dan serangan siber. Bagi tempoh Januari hingga Mei 2021, jumlah insiden keselamatan siber yang dilaporkan ke Pusat Bantuan Cyber999 kendalian CyberSecurity Malaysia adalah sebanyak 4,615 dengan tiga insiden tertinggi iaitu Penipuan (3,229), Pencerobohan (765) dan Kod Berbahaya (256).


Dalam hal ini, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bersama CyberSecurity Malaysia sentiasa memantau persekitaran ruang siber negara dengan
menyediakan perkhidmatan, bantuan serta sokongan teknikal untuk memantapkan
lagi sistem rangkaian dan pertahanan siber kepada semua pihak sama ada sektor
awam dan swasta serta pengguna internet individu.


Peringatan & Nasihat (Alert & Advisory) juga dikeluarkan dari semasa ke semasa
sebagai peringatan bagi membolehkan pentadbir sistem di organisasi awam dan
swasta serta pengguna internet mendapatkan maklumat mengenai amalan terbaik
bagi menangani dan membanteras sesuatu ancaman dan serangan siber.

Maklumat tersebut boleh didapati melalui portal MyCERT atau Pasukan Tindak Balas
Kecemasan Komputer Malaysia, CyberSecurity Malaysia di pautan
https://www.mycert.org.my/.


Dato’ Saifuddin Abdullah, Menteri Komunikasi dan Multimedia menggesa pengguna internet agar sentiasa peka, cakna serta melengkapkan diri dengan tatacara penggunaan teknologi dan internet dengan menggunakannya secara berhemah, positif, beretika dan penuh tanggungjawab.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *