Syarikat Telekomunikasi digesa terus tingkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar demi kemudahan rakyat

  • August 18, 2022
  • 3 min read
Syarikat Telekomunikasi digesa terus tingkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar demi kemudahan rakyat

17 OGOS 2022- Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan saya turut memberi amanat dan aspirasi bagi pelaksanaan JENDELA ini.

Mesyuarat ini diadakan bagi mendapatkan laporan terkini mengenai perkembangan pelaksanaan JENDELA seperti peningkatan kualiti kesalinghubungan internet di kawasan luar bandar dan terpencil, pembangunan infrastruktur digital dan isu berkaitan kualiti perkhidmatan jalur lebar serta jalan penyelesaian yang akan memberikan pengalaman digital yang lebih baik kepada rakyat.

Kerajaan amat mementingkan tahap kualiti perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat telekomunikasi kepada pengguna dan saya telah mengarahkan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk memantau dan membuat audit kualiti perkhidmatan capaian internet yang diberikan oleh penyedia perkhidmatan. Daripada audit kualiti tersebut didapati masih terdapat sesetengah tempat merekodkan kualiti yang kurang baik, di mana sebanyak 94 Notis Pematuhan dan tiga (3) Arahan Suruhanjaya telah dikeluarkan kepada penyedia perkhidmatan yang gagal memenuhi piawaian perkhidmatan jalur lebar dan menyediakan pengalaman yang baik kepada pengguna.

Berdasarkan taklimat Jawatankuasa Pemandu tersebut, pelaksanaan JENDELA suku kedua bagi tahun 2022 menunjukkan hasil yang memberangsangkan dan berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran penuh Fasa 1 JENDELA. Pencapaian yang paling ketara adalah jumlah premis yang dilengkapi dengan rangkaian gentian optik sejak bermulanya pelaksanaan pelan JENDELA.

Dalam pada itu kementerian amat mengalakkan orang ramai untuk memanfaatkan infrastruktur ini dan melanggan perkhidmatan jalur lebar tetap berkelajuan tinggi supaya dapat menikmati pengalaman Internet yang baik dalam menjalani urusan harian terutamanya semasa berada dalam premis kediaman atau pejabat.Selain itu, Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri pada 28 Jun yang lepas telah meluluskan penubuhan Jawatankuasa Khas Penyeragaman Kos, Caj dan Fi Pembangunan Infrastruktur Komunikasi di negeri-negeri.

Dalam memastikan jaringan dan liputan jalur lebar diperluaskan dengan baik, pihak K-KOMM telah memulakan pelaksanaan projek Point-of-Presence (POP) Fasa Pertama yang menyasarkan 677 hab rangkaian gentian optik titik kehadiran (POP) di sekolah dan kawasan perindustrian menjelang penghujung 2022. Kerajaan juga amat prihatin terhadap golongan pelajar dari kalangan B40 dan berharap inisiatif Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia yang dilaksanakan ini akan dimanfaatkan sebaiknya. Baru-baru ini, sebanyak 100,000 permohonan bagi fasa pertama pakej ini telah diterima manakala permohonan bagi fasa kedua telah dibuka pada 1 Ogos 2022.

Saranan supaya syarikat telekomunikasi mengambil tindakan yang lebih proaktif dalam memastikan perkhidmatan liputan jalur lebar yang berkualiti dapat disediakan kepada seluruh rakyat. Orang ramai boleh untuk menyemak liputan rangkaian di kawasan mereka dan menghantar maklum balas melalui pautan JENDELA Map https://jendela.my atau melalui aplikasi mudah alih Jendela Map yang boleh dimuat turun di Apple Appstore atau Google Play.Kerajaan kekal komited terhadap kemajuan liputan dan kualiti perkhidmatan kesalinghubungan dalam negara dan mengalakkan semua pihak termasuk pihak Kerajaan Negeri, pihak agensi dan syarikat swasta untuk melaksanakan inisiatif yang memberikan kualiti pengalaman komunikasi yang baik kepada rakyat dan memastikan sasaran pelaksanaan JENDELA dapat dicapai seperti yang dirancang. Ini sekali gus akan menyokong semua usaha pendigital oleh Kerajaan bagi mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *