Tiga pelan strategik 2022-2024 Jawatankuasa Perdagangan & Perniagaan ICA-AP Tingkat Potensi Penglibatan Rantau Asia Pasifik
Mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan dan Perniagaan ICA-AP Kali Ke-3 bertempat di ANGKASA, Kelana Jaya pada hari ini (14 September 2022) sebulat suara bersetuju menggariskan Tiga Pelan Strategik (2022-2024) ke arah merancakkan pertumbuhan dan pembangunan perniagaan serta menyokong interaksi perniagaan dan maklumat di Rantau Asia Pasifik.
Tiga Pelan Strategik (2022-2024) yang dibentangkan tersebut merangkumi usaha Meningkatkan Keanggotaan dan Menggalakkan Penglibatan Anggota; Menggalakkan Pertumbuhan dan Perkembangan Perdagangan Perniagaan serta Memperkukuh dan Merancakkan Kerjasama Dua Hala Dalam Kalangan Anggota di Rantau Asia Pasifik.
Pelan berkenaan dibentangkan oleh Pengurus Besar Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa (BHEA) ANGKASA, Dr. Noraini Mohamad dalam agenda yang berlangsung dalam 3rd /2022 Trade and Business Committee Meeting yang diadakan secara hibrid pada jam 2 petang (waktu Malaysia) melibatkan penyertaan seramai 10 anggota perwakilan daripada tujuh (7) negara iaitu Iran; Korea; Filipina; China; Nepal; India dan Malaysia.
Mesyuarat yang dikendalikan oleh Pengurus Unit Malaysian Business Office (MBO) BHEA ANGKASA, Puan Wan Azwati Wan Mohamed itu dipengerusikan oleh Presiden ANGKASA merangkap Naib Presiden ICA-AP, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah. Turut sama menyertai mesyuarat ini ialah Ahli Lembaga ICA merangkap Anggota Lembaga ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail dan Pengarah Serantau ICA-AP, Mr. Balasubramanian Iyer.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah yang juga Presiden ASEAN Co-Operative Organization (ACO) dalam ucapan aluannya menyatakan, ANGKASA komited memainkan peranannya iaitu merangsang dan membangunkan perniagaan koperasi melibatkan jaringan produk koperasi antara negara-negara ASEAN.
Menyedari usaha ANGKASA menggerakkan semula kerjasama antara negara serantau menerusi penubuhan jawatankuasa ini, perdagangan dan perniagaan antara koperasi di rantau Asia Pasifik perlu diperkasakan.
Mesyuarat yang berakhir pada jam 3.30 petang turut menyaksikan Datuk Seri Dr. Abdul Fattah mengekalkan jawatannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan dan Perniagaan ICA-AP bagi tempoh 2022-2025 manakala Naib Pengerusi Jawatankuasa ialah Mr. Gyan Bahadur Tamang dari Nepal.