Minggu Ketiga: TV Alhijrah tonjol kelainan, seni dakwah dalam program Pentas Marhaban

  • December 5, 2023
  • 4 min read
Minggu Ketiga: TV Alhijrah tonjol kelainan, seni dakwah dalam program Pentas Marhaban

Kuala Lumpur – Program realiti TV, Pentas Marbahan bersiaran di TV Alhijrah kini memasuki episod yang ketiga. Pentas Marhaban adalah berkonsepkan kalah mati di mana 12 kumpulan akan dipecahkan kepada 2 kumpulan bagi setiap episod iaitu Kumpulan A dan Kumpulan B.

Hanya dua kumpulan akan bertanding pada setiap minggu bermula 18 November 2023, selama 8 minggu siaran. Markah kumpulan tertinggi pada setiap minggu akan menentukan 2 kumpulan terbaik yang akan mara ke pentas akhir.

Peserta yang bertanding pada episod kali ini adalah kumpulan Soutun Nadwah dan Mawaddah. Lingkungan umur peserta Marhaban adalah daripada semuda umur 9 tahun hingga 80 tahun. Pemarkahan akan diberikan berdasarkan gaya persembahan, pakaian, lagu, solo, dan harmoni. Penjurian akan diadili oleh juri tetap dan juri jemputan.

Juri tetap adalah Ustazah Asni Mansor dan Ustaz Zulhafis Gambus manakala Hafiz Hamidun merupakan juri jemputan bagi minggu ini.

Mengulas lanjut mengenai persembahan kedua-dua kumpulan bagi minggu ketiga ini, Ustaz Zulhafis menegaskan tentang kepentingan menjaga keaslian marhaban yang hendak dipersembahkan.

“Soutun Nadwah dipilih menjadi juara kerana persembahannya lebih baik daripada kumpulan lawannya, Mawaddah. Jadi, daripada segi solo tadi pun ustazah tadi pun nak compare dekat situ dah kalah dah. Dari segi persembahan, menarik. Markah kita tu yang banyak kita pilih, jadi markah itu yang menyebabkan kumpulan tersebut menang.”

“Macam tadi, minggu ni kebetulan kedua-duanya sebenarnya pada saya tidak menonjolkan keaslian marhaban yang sebenarnya. Sebab itu, tadi pun saya sudah tekankan, kita kena ketengahkan qasidah dan marwal. Jadi, kita tahu beza dia tu, marhaban lain, qasidah lain, nasyid lain, jadi banyak macam tu. Jadi, saya harap peserta yang akan datang kalau boleh anda betul-betul clear perkara ini,” katanya.

Menurut juri jemputan, Hafiz Hamidun, originaliti marhaban adalah satu formula yang diperlukan bagi memantapkan lagi persembahan buat peserta yang akan datang.

“Saya rasa bila kita dengar persembahan dari kedua-dua peserta tadi, juri-juri pun memang ada berkomunikasilah. Sebenarnya daripada segi kreativiti tu tak ada masalah sangat, nampak tu memang menyerlahlah. Ada kumpulan dengan persembahan tersendiri, ada kumpulan lagi satu dari awal sehingga habis ada senyum je kan, ceria.”

“Tapi, apabila adanya originaliti marhaban yang perlu dihormati, kadang-kadang kita nak terlalu berkreatif sangat ni kita sampai terlupa apa yang kita nak persembahkan tu, kita takut masyarakat dekat luar jadi confuse, mungkin pada peringkat ini boleh ada penambahbaikan pada masa akan datang,” katanya.

Jelas Hafiz, originaliti ditambah pula dengan kreativiti dan persembahan yang bertenaga itulah sebenarnya yang membezakan kumpulan yang menang pada peringkat seterusnya.

Sementara itu, perkataan Marhaban berasal daripada perkataan Arab ahlan wa sahlan yang membawa maksud ucapan selamat datang mengalu-alukan kedatangan tetamu.

Marhaban adalah syair yang sering dipersembahkan pada majlis-majlis keramaian dan keraian seperti majlis perkahwinan, naik buaian/berendoi, cukur jambul bayi. majlis aqiqah, dan meraikan bulan Syawal dalam takwim Islam.

Syair yang paling popular adalah daripada kitab berzanji’ disamping kitab-kitab lain seperti Maulid AdDibal, Maulid Al-Habshee dan Qasidah Burdah.

Marhaban dialunkan sambil berdiri dengan penuh semangat sebagai tanda hormat kepada baginda Rasulullah SAW.

Ustaz Zulhafis berkata, konsep marhaban yang sebenar perlu dimartabatkan.

“Sebagai contoh, kalau kita pergi mana-mana majlis kenduri marhaban dan akikah, tak pernah lagi kita tengok marhaban main alat muzik. Tadi, kedua-duanya bawa alat muzik. Dekat situ dah tak ada keaslian dah.”

“Saya faham, dia nak kreatif. Tapi, saya nak beri satu teguran, memang boleh tapi sebab itu kita tak nak nanti masyarakat, generasi X, Y, Z ni dan yang akan datang ni nanti tidak ada keaslian lagi, tidak ada marhaban lah, dah jadi nasyid dan qasidah. Jadi kita nak bezakan ia tu,” katanya.

Menurut Hafiz, Pentas Marhaban merupakan satu inisiatif yang sangat baik di mana kita dapat lihat bahawa marhaban diketengahkan sebagai cabang seni yang bukan hanya terbatas kepada nasyid semata-mata.

Walaupun marhaban dianggap sebagai satu kebudayaan dan tidak menepati citarasa anak muda, namun rancangan berkualiti seumpama ini membuktikan sebaliknya. Melalui program ini, marhaban dapat ditonjolkan menjadi satu kesenian yang dapat dinikmati bersama. Tambahan pula, ia menjadi satu penanda aras bahawa TV alhijrah sentiasa memartabatkan marhaban dengan mencari pelapis yang baru.

“Saya lihat ramai orang muda, yang kecil ada yang dari umur 7 tahun. Sebenarnya kita ada pelapis baru. Sememangnya seni ini perlu digilap, kalau tidak digilap, kita tak akan jumpa permata itu,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *