Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyambut baik saranan Perdana Menteri agar UDA Holdings Berhad membantu meringankan beban peniaga dan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terkesan akibat krisis bekalan global.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, UDA telah mengambil pendekatan holistik dan berhati-hati bagi membantu para peniaga yang menjalankan perniagaan di kompleks beli-belah dan bangunan komersial milik syarikat itu.
Menurut beliau, tiga inisiatif utama telah diperkenalkan bagi menyokong kelangsungan operasi PMKS bermula Mei hingga Disember 2026.Inisiatif pertama melibatkan pemberian diskaun sewa sehingga 20 peratus kepada penyewa premis perniagaan.
Pelaksanaan bantuan itu dibuat secara bersasar menerusi pemberian diskaun asas 10 peratus kepada semua penyewa serta tambahan 10 peratus lagi kepada usahawan PMKS melalui Program Insentif Usahawan UDA.Selain itu, UDA turut melaksanakan moratorium bayaran sewa bulanan secara fleksibel bagi membantu aliran tunai usahawan yang terjejas.
Langkah tersebut termasuk kebenaran tunggakan sewa sehingga tiga bulan berdasarkan penilaian prestasi dan keperluan operasi penyewa.Bagi mengurangkan tekanan kos operasi, UDA juga memperkenalkan Bantuan Kos Utiliti atau Utility Cost Relief menerusi penanggungan kos kenaikan caj perkhidmatan operasi kompleks secara tidak langsung kepada penyewa.Menurut kenyataan itu lagi, UDA dijangka menanggung kos sebanyak RM12.5 juta bagi melaksanakan keseluruhan bantuan kepada para peniaga dan usahawan PMKS.
Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi laman rasmi UDA Holdings Berhad�



