KUALA LUMPUR, 12 November 2026 – Legasi perjuangan Allahyarham Profesor Syed Husin Ali dalam memperjuangkan keadilan sosial, hak masyarakat dan kebebasan bersuara terus diketengahkan menerusi penganjuran Bicara Buku Dua Wajah, Tahanan Tanpa Bicara di Universiti Malaya (UM), hari ini.
Program anjuran Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UM itu berlangsung dari jam 2 hingga 3 petang di Dewan Kuliah C (DKC), Fakulti Sastera dan Sains Sosial, dengan menampilkan Pengarah Jabatan Penyelarasan Kawasan Parlimen bagi Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia bagi Matlamat Pembangunan Lestari (APPGM-SDG), Dr. Teo Lee Ken sebagai pembicara.



Buku Dua Wajah, Tahanan Tanpa Bicara merupakan karya Syed Husin Ali yang merakamkan pengalaman beliau sepanjang enam tahun ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dari 1974 hingga 1980, sekali gus menjadi catatan penting mengenai sejarah politik dan perjuangan sosial di negara ini.
Menurut Dr. Teo, karya berkenaan wajar diketengahkan kerana sumbangan Syed Husin Ali dalam bidang akademik, penulisan dan perjuangan masyarakat masih kurang diketahui berbanding penglibatan beliau dalam politik sebagai bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Senator.

Beliau berkata, buku itu bukan sekadar merakamkan pengalaman peribadi seorang tokoh ketika berdepan penahanan di bawah ISA, malah mengandungi pengajaran mengenai kepentingan kesedaran masyarakat dan keberanian moral dalam menilai isu yang melibatkan kepentingan rakyat.
Justeru, beliau menegaskan generasi muda perlu mempunyai keberanian untuk mengemukakan kritikan dan pandangan secara berasas, khususnya berkaitan isu pembangunan, kemiskinan serta kesejahteraan masyarakat.


Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM, Dr. Kamal Solhaimi bin Fadzil berkata, pemilihan buku tersebut amat signifikan memandangkan Syed Husin Ali merupakan antara tokoh pengasas jabatan berkenaan yang banyak menyumbang kepada perkembangan ilmu dan pembangunan masyarakat.
Menurutnya, perbincangan itu menjadi ruang untuk mengingatkan warga universiti supaya tidak terlalu tertumpu kepada pencapaian akademik dan kerjaya sehingga mengabaikan suara serta kepentingan golongan terpinggir.
Beliau turut menekankan kepentingan prinsip Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), iaitu Leave No One Behind, yang membawa mesej bahawa tiada golongan masyarakat harus diketepikan dalam arus pembangunan negara.
Dalam usaha mengekalkan legasi intelektual Syed Husin Ali, UM turut merancang beberapa inisiatif termasuk penganjuran program ilmiah bagi membincangkan sumbangan beliau serta usaha membuka Kerusi Syed Husin Ali di Jabatan Antropologi dan Sosiologi.
Dalam kalangan peserta, program berkenaan turut mendapat perhatian mahasiswa yang menyifatkannya sebagai ruang untuk memperluas pemahaman mengenai isu sosial, kemanusiaan dan tanggungjawab generasi muda terhadap masyarakat.



Presiden Persatuan Antropologi dan Sosiologi UM, Nabila Arisha yang turut menyertai program itu sebagai peserta berkata, perkongsian berkenaan membuka perspektif baharu kepada mahasiswa mengenai kepentingan meningkatkan kesedaran terhadap isu semasa, termasuk isu pelarian dan masyarakat Rohingya.
Menurutnya, golongan muda perlu lebih peka terhadap persekitaran sosial serta berani memainkan peranan dalam memberikan sumbangan kepada pembangunan negara.
Beliau turut menyifatkan pengalaman Syed Husin Ali yang pernah ditahan ketika memperjuangkan hak golongan petani sebagai peringatan tentang pentingnya menghargai kebebasan bersuara dan hak asasi manusia.
Sementara itu, Bendahari Persatuan Antropologi dan Sosiologi UM, Insiya binti Moiz Ali yang turut hadir sebagai peserta menyifatkan perbincangan buku itu sebagai pengalaman yang membuka minda menerusi perkongsian Dr. Teo yang pernah berinteraksi secara langsung dengan Syed Husin Ali.
Menurutnya, mahasiswa tidak seharusnya mengehadkan tanggungjawab kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu turut melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan dan gerakan di peringkat akar umbi bagi memahami realiti kehidupan masyarakat.
Beliau turut menggalakkan mahasiswa supaya berani melangkaui lingkungan kampus dan menyumbang secara langsung kepada komuniti.
Penganjuran bicara buku itu bukan sahaja menghidupkan kembali sejarah perjuangan seorang tokoh akademik dan aktivis negara, malah menjadi wadah untuk menyemai pemikiran kritis, keberanian moral serta kesedaran sosial dalam kalangan generasi muda.
Legasi Syed Husin Ali membuktikan bahawa ilmu bukan sekadar untuk dikejar bagi mencapai kejayaan peribadi, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan dan sumbangan dalam membina masyarakat yang lebih adil, inklusif dan saksama. – UTV








Komen (0)