KUALA LUMPUR – Ilmu pengetahuan bukan sekadar untuk mencapai kecemerlangan akademik, sebaliknya perlu dimanfaatkan bagi memahami permasalahan masyarakat, memperjuangkan keadilan dan membawa perubahan kepada kehidupan rakyat.
Mesej itu menjadi antara perkara yang diketengahkan menerusi Forum Wacana Ilmiah Syed Husin Ali: Ilmuwan, Pemikir dan Perintis Sains Sosial Malaysia yang berlangsung di Dewan Kuliah A (DKA), Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM), pada 18 November 2026.



Forum anjuran Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM itu menampilkan Profesor Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong dan Profesor Abdul Halim Ali sebagai ahli panel, manakala Dr. Muhammad Ikmal Mohd Said bertindak sebagai moderator.
Perbincangan panel mengupas pemikiran serta sumbangan Syed Husin Ali dalam bidang sains sosial, khususnya berkaitan kemiskinan, ketidaksamaan sosial dan struktur masyarakat.
Antara karya penting yang disentuh ialah kajian beliau di Kampung Bagan, Johor, yang diterbitkan pada tahun 1964 menerusi buku Social Stratification in Kampong Bagan: A Study of Class, Status, Conflict and Mobility in a Rural Malay Community.
Kajian tersebut meneliti susun lapis sosial masyarakat Melayu luar bandar, termasuk aspek kelas, status, konflik dan mobiliti sosial. Perbincangan turut menyentuh ketidaksamaan dalam masyarakat yang bukan sahaja melibatkan pendapatan, malah merangkumi faktor kelas, etnik, agama dan geografi.
Panel turut menekankan bahawa pemikiran Syed Husin Ali tidak seharusnya dilihat dari sudut kemiskinan dan ekonomi semata-mata, sebaliknya merangkumi falsafah ilmu serta tanggungjawab golongan akademik untuk memanfaatkan pengetahuan bagi membawa perubahan dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat.


Ketua Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM, Dr. Asbah binti Razali berkata, forum itu bertujuan memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai tokoh berkenaan, termasuk peranan dan sumbangannya dalam perkembangan bidang sains sosial di Malaysia.
Menurutnya, usaha memperkenalkan pemikiran Syed Husin Ali kepada generasi muda penting supaya mereka bukan sahaja mengenali tokoh itu, malah memahami perjuangan serta sumbangannya kepada masyarakat.
Dalam kalangan mahasiswa yang hadir mengikuti forum berkenaan, program itu turut membuka ruang untuk memahami pemikiran Syed Husin Ali dan kaitannya dengan realiti masyarakat hari ini.
Ketua Biro Perhubungan Persatuan Bahasa Melayu UM, Yazin Aizat bin Yusof Pauzi berkata, golongan muda perlu memainkan peranan lebih besar dalam menyuarakan kepentingan masyarakat, khususnya golongan terpinggir.
“Kita sebagai anak muda bukan sahaja belajar, bukan sahaja pergi ke kafe dan pergi ke kelas, tetapi kita juga perlu menjadi jurubicara rakyat,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa ilmu yang dipelajari tidak seharusnya terhenti pada peringkat teori, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada usaha memperjuangkan hak masyarakat.
“Bukan sahaja kita mempelajari ilmu itu, tetapi menjadikan ilmu untuk memperjuangkan hak-hak masyarakat, khususnya golongan terpinggir,” katanya.

Sementara itu, pelajar Antropologi dan Sosiologi UM, Nur Qaseh Aishah binti Khairudin yang turut menghadiri forum berkenaan menyifatkannya sebagai satu pengalaman yang memberi inspirasi kepada mahasiswa, khususnya dalam memahami perjuangan serta sumbangan tokoh akademik negara.
Menurutnya, pemikiran dan pengalaman Syed Husin Ali boleh menjadi motivasi kepada pelajar untuk terus menimba ilmu, selain memahami perkembangan sejarah dan politik yang memberi kesan kepada masyarakat.
Seorang lagi peserta, Haziq bin Abdul Mutalib, yang juga pelajar Antropologi dan Sosiologi UM, pula berpandangan bahawa golongan muda perlu mengambil tahu tentang sejarah dan politik kerana peristiwa masa lalu mempunyai kesan jangka panjang terhadap kehidupan masyarakat hari ini.
Beliau turut berharap program seumpama itu dapat diteruskan bagi memberi peluang kepada lebih ramai mahasiswa mendalami pemikiran tokoh serta memahami isu sosial yang membentuk masyarakat.
Dalam pada itu, Dr. Asbah binti Razali memaklumkan bahawa pihak jabatan turut merancang beberapa aktiviti susulan bagi memperluas pengenalan terhadap legasi Syed Husin Ali.

Antaranya termasuk pameran yang dirancang berlangsung di Perpustakaan Peringatan Za’ba, Universiti Malaya, pada 7 dan 8 Disember 2026. Selain itu, satu majlis berkaitan Syed Husin Ali turut dicadangkan berlangsung di Dewan Tunku Canselor pada 12 atau 13 Januari 2027.
Majlis berkenaan dijangka melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tertakluk kepada pengesahan lanjut pihak penganjur.
Pihak jabatan turut merancang pertandingan penulisan esei dan deklamasi puisi bertemakan Syed Husin Ali bagi menggalakkan penglibatan mahasiswa serta generasi muda dalam menghayati pemikiran dan perjuangan tokoh berkenaan.
Usaha mengangkat legasi Syed Husin Ali itu diharap dapat memastikan sumbangan beliau dalam bidang sains sosial terus dikenang, selain menyemai kesedaran bahawa ilmu pengetahuan bukan sekadar untuk kepentingan akademik, tetapi juga berperanan dalam memahami realiti masyarakat dan memperjuangkan kesejahteraan rakyat. -UTV








Komen (0)