Golf Amal Selebriti 2026 Kembali Untuk Bantu Artis Memerlukan – Freddie Fernandez

SEREMBAN, 10 Mei – Program Golf Amal Selebriti 2026 kembali dianjurkan buat kali kelima sebagai usaha berterusan membantu golongan penggiat seni yang memerlukan bantuan kewangan, khususnya artis yang berdepan masalah kesihatan dan kesempitan hidup.Acara anjuran Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dengan kerjasama FINAS dan PROFiMA itu berlangsung di Kota Seriemas Golf & Country Club hari ini.

Dato’ Freddie Fernandez

Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Dato’ Freddie Fernandez berkata, program yang diadakan setiap dua tahun sejak dimulakan pada 2016 itu bukan sahaja menjadi platform mengeratkan hubungan dalam kalangan artis dan penaja, malah bertujuan mengumpul dana kebajikan bagi membantu rakan-rakan industri seni.

“Saya memang peminat golf, sebab itu kali kelima kita teruskan program ini. Tapi hari ini saya sendiri tak sempat bermain kerana perlu uruskan penganjuran, hadiah dan pelbagai perkara lain,” katanya ketika ditemui media.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada FINAS, Datuk Azmir, Datuk Hans serta PROFiMA yang banyak membantu mendapatkan pemain dan penaja untuk menjayakan program tersebut.“Jumlah sumbangan mungkin bukan luar biasa, tetapi cukup untuk kita sediakan dana bagi kerja amal dan membantu artis yang memerlukan,” katanya.

Menurut Freddie, objektif utama program berkenaan adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap nasib segelintir artis yang berdepan kesukaran hidup serta masalah kesihatan.Katanya, hampir setiap hari pihaknya menerima berita mengenai artis yang dimasukkan ke hospital, menjalani pembedahan dan memerlukan bantuan segera.“Semalam sahaja saya dimaklumkan mengenai Yuri daripada kumpulan Desire yang terkena strok di Kelantan dan memerlukan bantuan. Jadi hari ini kita terus bantu apa yang termampu,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan penggiat seni, Helmy, yang baru selesai menjalani pembedahan juga menghargai usaha tersebut dan berhasrat untuk turut sama membantu apabila kesihatannya kembali pulih.

“Bila dia sihat nanti dia mahu join kita bantu artis-artis lain. Itulah semangat yang kita mahu lihat dalam kalangan artis,” katanya.

Tambah Freddie, konsep program amal seperti itu lebih bermakna kerana orang ramai bukan sekadar diminta menyumbang wang semata-mata, sebaliknya turut menikmati pelbagai aktiviti dan peluang memenangi hadiah sambil beramal.“Kita bukan hanya minta orang derma.

Bila ada acara macam ini, mereka boleh bermain golf, menikmati majlis dan pada masa sama menyumbang kepada dana kebajikan,” katanya.Beliau berkata, dana kebajikan untuk artis perlu diusahakan secara berdikari tanpa terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan.“Kerajaan ada peruntukan untuk perkara tertentu.

Jadi untuk kerja amal seperti ini, kita kena cari dana sendiri melalui golf, makan malam, jualan meja dan persembahan artis,” katanya.Freddie berkata program seperti itu diharap dapat diteruskan secara konsisten bagi memastikan kebajikan artis tempatan terus terbela, terutama mereka yang berdepan masalah kesihatan dan kesempitan hidup selepas tidak lagi aktif dalam industri.“Kita mahu masyarakat tahu masih ramai artis lama yang memerlukan perhatian dan bantuan.

Sedikit sumbangan daripada semua pihak sangat bermakna buat mereka,” katanya.Golf Amal Selebriti 2026 turut diserikan dengan gala dinner pada sebelah malam serta menerima sambutan baik daripada penaja, penggiat seni dan pemain golf yang hadir bagi menyokong usaha kebajikan tersebut.Program Golf Amal Selebriti 2026 dilihat bukan sahaja menjadi platform santai buat penggiat seni dan penaja, malah membuktikan semangat solidariti dalam industri hiburan tanah air terus utuh demi membantu rakan-rakan artis yang memerlukan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *