KTMB Lancar Video PSA Kesedaran Keselamatan Landasan Kereta Api

KUALA LUMPUR, 27 Januari 2026 – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melancarkan Video Pesanan Khidmat Awam (PSA) Kesedaran Keselamatan Landasan Kereta Api bagi meningkatkan tahap kesedaran masyarakat terhadap bahaya pencerobohan landasan, vandalisme serta kecuaian yang boleh mengancam nyawa orang awam dan menjejaskan operasi tren negara.

Majlis pelancaran yang berlangsung di Pawagam Mini P. Ramlee, Ibu Pejabat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Ulu Kelang itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Azlan Shah bin Al Bakri; Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib; serta Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Rel, Puan Julie binti Samsudin yang mewakili Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Video PSA berkenaan merupakan hasil kerjasama strategik antara KTMB dan FINAS bagi menyampaikan mesej keselamatan secara lebih kreatif, jelas dan berimpak tinggi kepada masyarakat umum.
Menurut Datuk Hasbi, aspek keselamatan dalam sektor rel bukan hanya bergantung kepada teknologi dan infrastruktur semata-mata, sebaliknya turut dipengaruhi oleh sikap serta tahap kesedaran masyarakat.
“Video PSA ini bukan sekadar bahan tontonan, tetapi satu medium penting untuk menyampaikan mesej keselamatan secara lebih berkesan, inklusif dan mudah difahami. Keselamatan di landasan kereta api adalah tanggungjawab bersama dan memerlukan kerjasama semua pihak,” katanya.

Beliau turut menyeru agar video PSA tersebut disebarluaskan melalui pelbagai platform media bagi memastikan mesej keselamatan dapat disampaikan kepada semua lapisan masyarakat, khususnya penduduk setempat serta pemilik ternakan di kawasan berhampiran landasan kereta api.

Pelancaran video ini juga selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan, tanggungjawab sosial dan kesejahteraan rakyat.
Sementara itu, Datuk Azlan Shah berkata pelancaran PSA tersebut mencerminkan komitmen berterusan KTMB dalam memperkukuh budaya keselamatan serta melindungi nyawa orang awam.
“Statistik insiden di landasan kereta api menunjukkan peningkatan kes melibatkan kecurian kabel, pencerobohan serta pelanggaran tren dengan haiwan ternakan. Ini membuktikan isu keselamatan bukan perkara remeh dan memerlukan perhatian serius daripada semua pihak,” katanya.
Tambah beliau, perbuatan kecurian kabel dan vandalisme bukan sahaja membahayakan nyawa, malah menjejaskan sistem semboyan dan komunikasi, operasi tren serta mengakibatkan kerugian besar kepada negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *