Monday, 16 November 2026BERITA · PERSPEKTIF · KOMUNITI
TERKINI
Jamuan Deepavali Eratkan Perpaduan Komuniti Berbilang Kaum di Ampang118 Meja Himpunkan Tokoh Filem Hong Kong dan Malaysia di Kluang, Dr Kervis Soo Eratkan Hubungan Industri KreatifFrac and SuprAI, a Member of SGX-Listed USP Group,Partner to Build Enterprise AI for Southeast Asia;Frac Receives Malaysia Book of Records RecognitionUniversiti Malaya Anjur Bicara Buku Syed Husin Ali, Cetus Kesedaran Generasi Muda

UTV Media Malaysia

Jamuan Deepavali Eratkan Perpaduan Komuniti Berbilang Kaum di Ampang

AMPANG – Penganjuran majlis jamuan sempena sambutan Deepavali bukan sekadar meraikan perayaan masyarakat Hindu, malah menjadi platform memperkukuh hubungan silaturahim dan perpaduan dalam kalangan komuniti setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, YB Tuan Syed Ahmad bin Abdul Rahman Alhadad (Altimet) berkata, majlis yang dianjurkan dengan kerjasama komuniti kuil di Ampang itu mendapat sambutan menggalakkan apabila ramai penduduk hadir bagi memeriahkan acara berkenaan, termasuk menikmati jamuan makanan serta menyaksikan persembahan kebudayaan.

Menurut beliau, program seumpama itu merupakan antara tiga sambutan perayaan utama yang dilaksanakan setiap tahun, iaitu Deepavali, Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina.

Katanya, kejayaan penganjuran pada tahun lalu mendorong pihaknya meneruskan kerjasama dengan komuniti kuil bagi menjayakan program berkenaan sekali lagi tahun ini.

Beliau berkata, rumah ibadat bukan hanya berfungsi sebagai tempat bersembahyang dan menjalankan upacara keagamaan, sebaliknya turut memainkan peranan penting sebagai pusat perhimpunan sosial, pendidikan agama serta pemeliharaan kebudayaan dan warisan masyarakat.

“Kalau kita lihat di kuil, tokong, gurdwara, surau dan masjid, semuanya mempunyai peranan yang sama. Ia bukan sekadar tempat beribadah, tetapi juga tempat komuniti berkumpul, berinteraksi serta menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan sumbangan kotak makanan bagi membantu persiapan sambutan Deepavali telah disampaikan pada hari Rabu sebelum perayaan yang jatuh pada hari Ahad.

Sumbangan itu merupakan inisiatif yang turut mendapat sokongan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, pihaknya turut menyalurkan sumbangan bagi membaiki bumbung kuil yang mengalami kebocoran serta menaik taraf kawasan memasak bagi meningkatkan kemudahan kepada komuniti.

Menurutnya, penambahbaikan itu penting memandangkan kuil berkenaan sering mengadakan upacara keagamaan berskala besar yang memerlukan penyediaan makanan untuk jumlah pengunjung yang ramai.

Beliau berkata, kuil berkenaan merupakan antara kuil tertua dan terbesar di Ampang, sekali gus menjadi tumpuan masyarakat Hindu di kawasan tersebut.

Sehubungan itu, kebajikan individu yang menguruskan dan menyelenggara kuil, termasuk sami yang menetap di situ, turut diberi perhatian bagi memastikan mereka dapat menjalankan tanggungjawab dalam keadaan lebih selesa.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) atas kerjasama menyediakan kemudahan parkir khas orang kurang upaya (OKU) di hadapan kuil berkenaan.

Kemudahan itu dilihat dapat memudahkan golongan OKU, khususnya penganut Hindu, untuk hadir menunaikan ibadah dengan lebih selesa dan mudah.

Mengakhiri ucapannya, beliau berharap masyarakat yang menyambut Deepavali dapat terus menghayati perayaan itu dalam suasana aman dan harmoni.

Beliau turut menyeru agar masyarakat mendoakan kesejahteraan Ampang supaya terus menikmati keamanan, keharmonian dan terhindar daripada sebarang masalah besar yang boleh menjejaskan kehidupan penduduk setempat. – UTV

Komen (0)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *