Petaling Jaya, 28 Januari 2026 – Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) meluluskan 18 lokasi Bazar Ramadan ‘Lestari & Prihatin’ 2026 di sekitar bandar raya ini dengan penyediaan 1,260 petak niaga bagi tempoh 29 hari bermula 19 Februari hingga 20 Mac 2026.
MBPJ memaklumkan, sebanyak 1,221 permohonan telah diterima, mewakili 96.9 peratus daripada jumlah petak yang ditawarkan, sekali gus mencerminkan keyakinan tinggi peniaga terhadap sistem pengurusan bazar yang lebih tersusun dan telus.

Majlis penyerahan permit telah disempurnakan oleh Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Haji Mohamad Zahri bin Haji Samingon, sempena Program Taklimat, Cabutan Undi dan Penyerahan Permit Bazar Ramadan hari ini.
Bazar tahun ini memberi penekanan kepada dua komponen utama, iaitu Lestari dan Prihatin. Di bawah inisiatif lestari, semua peniaga diwajibkan menggunakan pembungkusan mesra alam, melaksanakan pengurusan sisa lebih sistematik serta menyertai Program Kitar Semula Minyak Masak Terpakai.
Bagi komponen prihatin pula, peniaga digalakkan menyediakan juadah berbuka puasa pada harga mampu milik serta mengamalkan konsep “jualan sambil menderma” khususnya bagi membantu golongan B40 dan M40.
Sebagai langkah penambahbaikan, MBPJ turut memperkenalkan Kupon Digital Bazar Ramadan dengan peruntukan RM80,000, selain meningkatkan pemantauan menerusi hampir 100 anggota MBPJ, RELA serta penggunaan Kod QR Aduan.
MBPJ menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang melanggar syarat, termasuk larangan sublet, pengambilan pekerja asing tanpa kebenaran serta pembatalan lesen.
Pelaksanaan bazar ini selaras dengan aspirasi MBPJ menjadikan Petaling Jaya sebagai Bandar Mampan dan Sejahtera.



