KPDN Serbu Gudang Simpanan Mesin Produk Kesihatan Tiruan

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu sebuah premis yang disyaki menjadi gudang penyimpanan dan pusat pembungkusan produk pemeriksaan kesihatan tiruan dalam satu operasi penguatkuasaan di Johor.

Operasi yang dijalankan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 (Akta 815) itu dilaksanakan hasil kerjasama antara Bahagian Penguat Kuasa KPDN Putrajaya, KPDN Johor serta wakil pemilik cap dagangan selepas menerima aduan berkaitan penjualan produk kesihatan tiruan secara dalam talian.


Pemeriksaan mendapati premis berkenaan menyimpan pelbagai produk pemeriksaan kesihatan yang disyaki menggunakan cap dagangan tanpa kebenaran untuk tujuan pengedaran dan penjualan kepada pengguna.


Antara barangan yang ditemui termasuk monitor tekanan darah automatik, nebulizer, termometer digital, penimbang digital, pulse oximeter serta alat pengukur glukosa darah.


Susulan itu, KPDN menyita sejumlah besar peralatan kesihatan yang disyaki tiruan dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM1.33 juta.
Seorang wanita tempatan yang mengaku sebagai pengurus premis tersebut turut ditahan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 kerana disyaki menggunakan cap dagangan berdaftar tanpa kebenaran pemilik sah.


KPDN menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam penjualan barangan tiruan yang melanggar undang-undang serta menjejaskan hak pemilik cap dagangan dan kepentingan pengguna.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *