FILEM ASTRO SHAW RAIH LIMA KEMENANGAN DI FESTIVAL FILEM MALAYSIA KE-35 DAN SATU ANUGERAH KHAS

KUALA LUMPUR, 22 November 2026 – Astro Shaw terus melakar pencapaian membanggakan dalam industri perfileman tanah air apabila meraih lima kemenangan menerusi tiga filem iaitu Malam Terlarang, Abah Saya Uncle Mike, TARUNG : Unforgiven, selain satu Anugerah Khas melalui filem animasi Papa Zola The Movie pada Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) yang berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur, malam tadi.

Antara yang mencuri perhatian ialah filem seram terbitan Astro Shaw, Malam Terlarang, yang berjaya membawa pulang dua anugerah menerusi pelakon Aila Azizul bagi kategori Pelakon Wanita Harapan dan Ameen Mustajab bagi kategori Kesan Khas Visual Terbaik. Kemenangan ini menjadi pencapaian bermakna buat Malam Terlarang, khususnya Aila Azizul yang menerima pengiktirafan menerusi penampilan sulungnya di layar perak.

Sementara itu, sebuah lagi filem terbitan Astro Shaw dengan kerjasama Etika Sdn Bhd, 7 Up dan Mirinda yang diinspirasikan daripada kisah sebenar seorang lelaki berbangsa Cina, Michael Tong Wai Siong atau lebih dikenali sebagai Uncle Mike yang membesarkan tiga anak berbangsa Melayu, Abah Saya Uncle Mike, turut mencatat kejayaan apabila pengarahnya, Ezrie Gazali, dinobatkan sebagai Pengarah Harapan menerusi filem sulung arahannya.

Kejayaan ini bukan sahaja menjadi pengiktirafan kepada bakat pengarahan baharu, malah membuktikan potensi kerjasama antara industri perfileman dan jenama komersial dalam menghasilkan karya tempatan yang mendapat pengiktirafan industri.

Manakala untuk filem TARUNG : Unforgiven terbitan Alpha 47 dengan kerjasama Astro Shaw menyaksikan pelakon Mierul Aiman dinobatkan sebagai pemenang Pelakon Lelaki Harapan, dan anugerah Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik dimenangi oleh Defenderz Action Team.

Filem animasi Papa Zola The Movie terbitan Monsta Studio dengan kerjasama Astro Shaw, menerima Anugerah Khas Filem Box Office, sekali gus mengiktiraf kejayaan komersial filem animasi tempatan di pawagam. Filem Papa Zola The Movie mencatat kutipan hampir 70 juta seterusnya menjadi filem animasi nombor 1 negara meraih kutipan tertinggi.

Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad menyatakan pencapaian pada FFM35 ini turut mencerminkan komitmen berterusan Astro Shaw dalam menyokong perkembangan industri perfileman tempatan, bukan sahaja menerusi penerbitan filem sendiri, malah melalui kerjasama strategik dan pelaburan dalam karya yang mempunyai potensi kreatif serta komersial.

“Alhamdulillah, kami amat bersyukur dan berbangga dengan pengiktirafan yang diterima pada FFM35. Tahniah kepada semua pemenang, barisan pelakon, pengarah, pasukan kreatif dan seluruh tenaga produksi yang telah memberikan komitmen terbaik dalam menjayakan filem-filem ini.”

“Kami juga ingin merakamkan penghargaan kepada rakan penerbitan dan rakan kerjasama, termasuk Etika Sdn. Bhd. yang diterajui oleh Naib Presiden Pemasaran, Amy Gan, Pengurus Pemasaran, Pia Lisa, bersama Santharuban Thurai Sundaram atas kepercayaan yang diberikan dalam menghasilkan Abah Saya Uncle Mike. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama dan penghasilan karya tempatan yang berkualiti pada masa hadapan.”

Senarai kemenangan filem Astro Shaw di FFM35:

Pengarah Harapan – Ezrie Gazali (Abah Saya Uncle Mike)
Pelakon Wanita Harapan – Aila Azizul (Malam Terlarang)
Kesan Khas Visual Terbaik – Ameen Mustajab (Malam Terlarang)
Pelakon Lelaki Harapan – Mierul Aiman (Tarung: Unforgiven)
Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik – Defenderz Action Team (Tarung: Unforgiven)
Anugerah Khas Filem Box Office – Papa Zola The Movie

Komen (0)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *