Isu Lambakan Warga asing: Jangan Cemar Kehormatan Negara – Kalai
Kuala Lumpur – Satu memorandum oleh Sekretariat Basmi Lambakan PATI terhadap isu lambakan warga asing yang berniaga dan menjaja telah diserahkan kepada wakil Datuk Bandar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini.
Memorandum tersebut menggesa Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh dan agensi terlibat bagi mengambil tindakan tegas dalam membanteras lambakan warga asing yang bermaharajalela di Kuala Lumpur.
Presiden Kebangsaan Nambikkai, Dr Kalai Vanar berkata, warga asing mendominasi lot-lot kedai sehingga dilabelkan umpama tanah jajahan warga asing.
“Kini ibu negara dipenuhi warga asing daripada Myanmar, Bangladesh, India dan Pakistan namun DBKL pula dipercayai tidak mengambil tindakan dengan cekap.
“Biasanya apabila ada aduan maka kemungkinan besar pihak DBKL turun beroperasi dan membuat tangkapan bersama Polis dan Imigresen, tetapi ada muka-muka yang kena tangkap pula muncul selepas 24 jam kena tangkap dan menjalankan kegiatan penuh mereka seperti sediakala”, katanya.
Warga asing dilihat menguasai penuh kawasan tumpuan di ibu kota seperti di sepanjang Jalan Chow Kit, Jalan Ipoh, Brickfields, Masjid India dan Pasar Borong Selayang.
Selain serbuan secara besar-besaran dan penguatkuasaan undang-undang yang tegas, pihak Sekretariat juga menggesa DBKL supaya membatalkan lesen-lesen peniaga tempatan yang didapati menyewakan premis mereka kepada warga asing.
“Apa yang menjadi kemusykilan rakyat Malaysia ialah kenapa pihak DBKL tidak membatalkan lesen-lesen peniaga tempatan atau menyita secara besar-besaran?
“Kami sedar bahawa pihak DBKL arif benar mengenai kegiatan warga asing muncul sebagai peniaga dan penjaja tetapi persoalannya kenapakah pihak DBKL memberi ruang yang luas bagi mereka menerokai perniagaan mereka disini,” jelasnya.
Menurut Kalai, lambakan warga asing memberi kesan yang negatif terhadap imej Wilayah Persekutuan selain memberi saingan yang amat ketara kepada peniaga tempatan.
Sekretariat juga menggesa supaya Datuk Bandar dan pihak DBKL bersama agensi berkaitan untuk melaksanakan operasi secara berterusan bagi mengekang warga asing daripada terus mengambil kesempatan dan menikmati kemudahan yang sepatutnya digunakan oleh warga Malaysia.
“Sekretariat sebulat suara mendesak tindakan yang tegas perlu diambil oleh pihak DBKL bersama PDRM, KPDNHEP dan Jabatan Imigresen untuk sama-sama mengekang warga asing daripada terus mencemar kehormatan negara,” ujarnya.