MVFA pergiat kerjasama silang budaya Malaysia-Vietnam

KUALA LUMPUR – Vietnam dan Malaysia terus mempergiatkan kerjasama dengan bekerja lebih rapat menerusi pengukuhan promosi pelbagai aspek termasuk perpaduan dan silang budaya.
Kolaborasi dua negara Asia Tenggara itu memberi kelebihan bagi meningkatkan perpaduan dalam ASEAN dan persefahaman silang budaya negara berbeza dengan lebih baik.
Usaha itu penting dalam memastikan keakraban negara serumpun terus diperhebatkan.

Presiden Persatuan Persahabatan Malaysia-Vietnam (MVFA), Tran Thi Chang, berkata, menerusi promosi silang budaya, peluang pendidikan juga terbuka luas, apabila ramai pelajar dari Vietnam menyambung pengajian di universiti awam Malaysia.
“Kita ada kolaborasi pendidikan antara Universiti Ho Chi Minh dan Universiti Malaya, selain institusi pengajian tinggi swasta, yang memberi kelebihan mempromosi silang budaya pendidikan.
“Pelbagai lagi kerjasama program akan dilaksanakan sehingga hujung tahun ini, seperti perlawanan persahabatan bola sepak, bot naga, pelancongan kesihatan, perdagangan dan pelaburan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Culture Exchange & Traditional Culture Performances Vietnam dan Malaysia dengan kehadiran seramai 60 wakil delegasi wilayah utara Vietnam, di Ho Chi Minh di Novotel Hotel, di sini.
Program itu turut mendapat kerjasama agensi swasta dan kerajaan, yang diadakan sempena ulang tahun bersejarah bagi hubungan dua hala itu pada 30 Mac 2023 baru-baru ini.
Chang turut berterima kasih kepada kerajaan Malaysia dan kedutaan Vietnam di Kuala Lumpur atas sokongan berterusan terhadap komuniti Vietnam di negara ini, selain berharap kerjasama ini lebih erat pada masa akan datang.
Pada 2022, kedua-dua negara ini melakar satu lagi peristiwa penting apabila MVFA diwujudkan bertujuan untuk menyumbang ke arah mengeratkan persahabatan, kerjasama dan persefahaman antara rakyat kedua-dua negara.
Malaysia kini adalah rakan dagangan kedua terbesar Vietnam di ASEAN dan kesembilan di peringkat global manakala Vietnam adalah rakan dagang ketiga terbesar Malaysia.
Malaysia dan Vietnam memeterai perjanjian perkongsian strategik pada 2015, dengan kedua-dua negara bersetuju untuk mencapai sasaran AS$18 bilion daripada segi perdagangan dua hala menjelang 2025.
Eksport utama Vietnam ke Malaysia termasuk beras, litar bersepadu, peralatan penyiaran, petroleum mentah serta elektronik dan komponen manakala eksport utama Malaysia ke Vietnam meliputi litar bersepadu, petroleum ditapis, peranti semikonduktor, aluminium mentah dan minyak sawit.




