PERKESO, Kerajaan negeri Terengganu dan T-HRDC berganding bahu bawa peluang pekerjaan kepada rakyat Kuala Terengganu

  • July 9, 2023
  • 3 min read
PERKESO, Kerajaan negeri Terengganu dan T-HRDC berganding bahu bawa peluang pekerjaan kepada rakyat Kuala Terengganu

Program Karnival Kerjaya tiga hari yang bermula semalam telah menarik penyertaan hampir 80 majikan yang menawarkan lebih 5,000 peluang pekerjaan untuk penduduk Negeri Terengganu.


Program Karnival Kerjaya MYFutureJobs & Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah Negeri
Terengganu 2023 “Outreach Kesejahteraan Pekerjaan Rakyat Negeri Terengganu 2023” ini
dianjurkan bersama oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Kerajaan Negeri Terengganu dan Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (T-HRDC).


Syarikat daripada pelbagai sektor industri yang menyertai program ini menawarkan jawatan
kosong yang bergaji dari RM1,500 hingga RM12,500 sebulan. Antara yang mengambil bahagian adalah Petronas, Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn Bhd, TM One, Agrobank, BSN, Coopbank Pertama, Pusat Rehabilitasi PERKESO, First Ambulance Services Sdn Bhd, Malaysia Rail Link Sdn Bhd, dan Adabi Consumer Industries Sdn Bhd.


Perasmian program telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan V.Sivakumar, Menteri
Sumber Manusia. Turut sama di majlis tersebut adalah Dato’ Sri Subahan Kamal, Pengerusi Lembaga PERKESO dan Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO.


Program tiga hari yang berlangsung dari 6 hingga 8 Julai di KTCC Mall ini, menyediakan platform untuk menemukan pencari kerja dengan bakal majikan secara bersemuka dalam sesi temu duga terbuka.

Program ini bukan hanya sekadar menghimpunkan pencari kerja dan majikan di bawah satu bumbung, malah ia menawarkan perkhidmatan pekerjaan yang akan meningkatkan kebolehpekerjaan dan kebolehpasaran pencari kerja dalam pasaran buruh.

Sepanjang program ini, PERKESO menyediakan perkhidmatan pekerjaan yang dilaksanakan menerusi Portal Pekerjaan Negara MYFutureJobs.

Ini termasuklah penyediaan resume, profil pencari kerja, bengkel temu duga, kaunseling kerjaya, program kebolehpekerjaan seperti kursus asas komunikasi, sahsiah diri dan persediaan menghadapi temuduga.


Usaha KSM menerusi PERKESO dalam membantu golongan penganggur boleh dilihat dari penurunan kadar pengangguran negara kepada 3.5 peratus pada suku tahun pertama 2023 berbanding 3.6 peratus pada suku tahun keempat 2022.

Bagi Negeri Terengganu, kadar pengangguran turut merekodkan penyusutan kepada 4.2 peratus berbanding 4.3 peratus bagi tempoh sama.


Sejak tahun 2020 hingga 30 Jun 2023, seramai 846,988 pencari kerja telah berjaya ditempatkan dalam pekerjaan di pelbagai sektor di negara ini menerusi perkhidmatan Portal MYFutureJobs.


Daripada jumlah tersebut, 18,323 orang adalah pencari kerja di Terengganu. Selain itu, program ini turut memberi tumpuan kepada Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah
(SKSSR) yang dilaksanakan PERKESO pada 1 Disember 2022.

Skim yang diperuntukkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 ini menyediakan perlindungan daripada
bencana domestik dan keilatan kepada suri rumah sewaktu menguruskan rumah tangga.
Sejak 1 Disember 2022 hingga 2 Julai 2023, seramai 178,710 orang suri rumah di seluruh
negara dilindungi SKSSR.

Dalam tempoh yang sama, seramai 13,085 suri rumah di Terenggannu mencarum dengan SKSSR, menjadikan Terengganu sebagai negeri ketiga pencarum SKSSR terbanyak selepas Sabah dan Sarawak.


Sewaktu majlis perasmian tersebut, YB Menteri Sumber Manusia telah menyampaikan
penghargaan kepada majikan yang membuat pengambilan pekerja tempatan, sekali gus
menyokong Kempen Ambil Pekerja Lokal oleh Kementerian Sumber Manusia menerusi
PERKESO.

Kempen ini tertujuan menggalakkan pengambilan tenaga kerja tempatan oleh
majikan, seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.


YB Menteri juga telah menyerahkan Surat Tawaran Kerja kepada pencari kerja Golongan TVET serta pencari kerja yang memperoleh pekerjaan melalui Portal MYFutureJobs.

Dalam majlis yang sama, penyerahan sumbangan juga dibuat kepada Caring Centre dan peserta Pogram Return To Work serta Program Cakna Prihatin PERKESO & Lembaga Tabung Haji.

YB Menteri kemudiannya melawat Tapak Karnival Kerjaya dengan diiringi oleh Dato’ Sri Subahan Kamal dan Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed bersama dif-dif kerhormat.


Bagi rakyat Malaysia, khususnya masyarakat Negeri Terengganu yang sedang mencari pekerjaan atau meninjau peluang pekerjaan lain, PERKESO menggalakkan mereka segera berdaftar di Portal MYFuture Jobs di www.myfuturejobs.gov.my.

Bagi sebarang maklumat lanjut, sila rujuk
laman web rasmi PERKESO www.perkeso.gov.my atau hubungi Careline PERKESO di 1-300-22-8000 atau e-mel perkeso@perkeso.gov.my.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *