Terowong Masa Jubli Emas ANGKASA telah dilancarkan sempena Sambutan 100 Tahun Gerakan Koperasi
PETALING JAYA, 12 APRIL 2022- YB Tan Sri Noh bin Haji Omar merasmikan Terowong Masa Jubli Emas Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) yang memaparkan pencapaian dan kejayaan ANGKASA sebagai badan apeks gerakan koperasi negara yang menyatu dan mewakili koperasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sepanjang 50 tahun penubuhan pada 12 Mei 1971.
Perkara tersebut dinyatakan oleh beliau sewaktu menghadiri Majlis Berbuka Puasa Sempena Semarak Jubli Emas ANGKASA dan Sambutan 100 Tahun Gerakan Koperasi di Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya.
Sementara itu, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata,”ANGKASA telah membangunkan Pelan Strategik ANGKASA 2050 (PESAN50) yang telah diselaraskan supaya seiring dengan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia 2021-2025 (TransKoM), Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030) dan inisiatif lain seperti Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 bagi memastikan segala usaha bagi menjadikan koperasi sebagai jentera pemacu sosioekonomi dapat berjalan selari dengan hala tuju, matlamat dan rancangan yang dibawa oleh kerajaan.
Dalam majlis yang sama, YB Tan Sri Noh bin Haji Omar telah menyampaikan sumbangan sebanyak 115 buah komputer riba kepada pelajar asnaf dan B40 dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bagi membantu pelajar yang kurang berkemampuan untuk tujuan pembelajaran pada masa kini yang menuntut penggunaan teknologi.
Majlis turut meraikan 15 orang asnaf Pusat Jagaan Darul Sakinah ANGKASA yang menerima sumbangan duit raya untuk persediaan aidilfitri.
Selain itu, Penubuhan Koperasi Kariah Masjid berpotensi besar meningkatkan keterlibatan masyarakat khususnya umat Islam dalam platform niaga yang dapat meningkatkan taraf hidup mereka.
Koperasi Kariah masjid merupakan penyelesaian kepada permasalahan barangan halal yang menjadi kegusaran masyarakat Muslim di negara ini yang mana koperasi menyumbang produk halal kepada pengguna. – UTV Malaysia